KUCHING: Pusat Sehenti Intervensi Awal Kanak-Kanak (OSEIC) Sarawak berjaya memainkan peranan penting apabila menyaksikan seramai 297 kanak-kanak dapat menamatkan program yang disediakan setakat ini, sejak 2022.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ada dalam kanak-kanak tersebut yang mengikuti program intervensi awal sehingga usia enam tahun dan berjaya memasuki aliran perdana selepas melangkah ke sekolah rendah.
Katanya, pada 2024 seramai 24 kanak-kanak di OSEIC Kuching berjaya melangkah masuk ke sekolah rendah aliran perdana – masuk ke kelas biasa.
“Saban tahun kita menyaksikan perkembangan positif menerusi program OSEIC ini kerana ada kanak-kanak yang masuk ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK).
“Kita sangat gembira melihat perkembangan sebegini, kerana di OSEIC Dalat juga menunjukkan perkembangan yang baik apabila tahun lalu seramai enam kanak-kanak berjaya masuk ke aliran perdana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat OSEIC Sarawak Bilangan 1 bagi Tahun 2025, di Bilik Mesyuarat, OSEIC Sarawak, di sini, hari ini.

