ARTIKEL

3.16 juta pelancong ke Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak merekodkan 3.16 juta ketibaan pelawat bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, susut hanya 1.41 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak merekodkan 3,160,448 ketibaan pelawat dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 3,205,519 pada tempoh sama 2025.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah ketibaan pelawat menunjukkan peningkatan pada Ogos dengan 439,968 orang berbanding 413,018 orang pada bulan sama tahun lalu.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 6.53 peratus.

“Walaupun pada Jun dan Julai terdapat sedikit pengurangan, ia tidaklah terlalu jauh,” katanya ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan Majlis Malam Apresiasi 2026 Jabatan Muzium Sarawak di sebuah hotel di sini.

Abdul Karim berkata, jumlah pelawat asing yang berkunjung ke Sarawak pada Ogos turut meningkat kepada 275,800 orang berbanding 244,903 orang pada bulan sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan jumlah pelawat turut menyumbang kepada peningkatan resit pelancongan Sarawak pada Ogos.

“Resit pelancongan pada Ogos 2026 adalah RM1.137 bilion berbanding RM1.059 bilion pada Ogos 2025,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, beliau menjangkakan jumlah ketibaan pelawat ke Sarawak akan terus meningkat menjelang akhir tahun susulan pelbagai program pelancongan yang dijadualkan berlangsung.

Beliau berkata, walaupun sasaran lima juta pelawat mungkin sukar dicapai, jumlah keseluruhan ketibaan pelawat dijangka masih berada pada lingkungan lebih empat juta orang.

“Saya tidak begitu risau kerana biasanya selepas pertengahan bulan sehingga hujung tahun, banyak program akan diadakan.

“Saya menjangkakan ada peningkatan.

Walaupun mungkin kita tidak dapat mencapai lima juta, ia masih akan berada dalam lingkungan empat juta lebih,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Karim berkata, perkembangan situasi di Timur Tengah serta gangguan terhadap penerbangan antarabangsa menjadi antara faktor yang boleh mempengaruhi jumlah ketibaan pelawat ke Sarawak.

Beliau turut mengakui keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini berpotensi memberi kesan terhadap keputusan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.

“Sudah tentu. Masalah jerebu telah menjadi perhatian di peringkat antarabangsa dan semua orang tahu Sarawak sedang mengalami jerebu ketika ini.

“Kemungkinan pelawat atau bakal pelawat mengubah rancangan perjalanan mereka memang ada,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, sektor pelancongan perubatan di Sarawak masih menunjukkan perkembangan positif berdasarkan maklumat yang diterimanya.

Menurutnya, keadaan jerebu tidak semestinya menjejaskan permintaan terhadap perkhidmatan perubatan kerana pesakit tetap akan mendapatkan rawatan di hospital yang mempunyai reputasi baik.

“Kalau orang sakit, sama ada ada jerebu atau tidak, mereka tetap akan mencari hospital yang baik.

“Bahagian itu saya percaya masih kekal,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah pengunjung ke Muzium Kebudayaan Borneo mencatatkan 263,000 orang bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.

Abdul Karim berkata, jumlah tersebut bagaimanapun menunjukkan sedikit penurunan susulan pertambahan tarikan warisan baharu seperti Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke dan Pusat Sains Sarawak.

Namun, katanya, trend kunjungan ke muzium menunjukkan peningkatan dari bulan ke bulan

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha