MIRI: Dua lelaki dan seorang perempuan yang terbabit dengan kes penipuan pembelian dan pembinaan rumah oleh sebuah syarikat di sini, didakwa dengan 19 lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, pada 6 November lalu
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 40-an hingga 60-an itu dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
“Pertuduhan melibatkan 19 kertas siasatan atas kerugian sehingga berjumlah RM883,670 yang dilaporkan pada tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela itu tidak mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret.
Katanya, kesemua tertuduh telah diberikan jaminan tunai sebanyak RM500 dengan seorang penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Bagaimanapun, katanya, siasatan bagi laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa dalam kes ini juga masih terus berjalan dan tindakan pertuduhan akan dibuat secara berperingkat, sehingga kes tersebut lengkap dan mendapat arahan pertuduhan daripada pihak yang arif pendakwa raya.
Jelasnya, tarikh Pre-Trial Case Management (PTCM) telah ditetapkan pada 6 Disember jam 9 pagi, manakala perbicaraan awal bagi dua kertas siasatan dijangka akan dijalankan pada 20 hingga 23 November depan di Mahkamah Miri.
Alexson berkata, pertuduhan tersebut menunjukkan kejayaan pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Miri dalam membuat pertuduhan ke atas 21 kertas siasatan isu dan suspek yang sama setakat hari ini.

