ARTIKEL

DIRAMPAS… Tangki diesel yang dirampas PGA menerusi Op Taring Bravo.

PGA Sarawak Rampas Barangan Bernilai RM5.77 Juta dalam Empat Operasi


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rokok, minuman keras, diesel, beras dan produk ayam sejuk beku antara barangan yang dirampas Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5.77 juta menerusi empat operasi dalam tempoh dua minggu.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, sebanyak 26 kejayaan direkodkan sepanjang 1 hingga 14 Oktober lalu, dengan 35 individu ditahan, terdiri daripada 24 warga tempatan dan 11 warga asing.

PERIKSA… Anggota PGA memeriksa tangki dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel.

“Op Taring Alpha mencatatkan nilai rampasan terbesar, dianggarkan RM4.11 juta, membabitkan rokok dan minuman keras yang disyaki belum lulus cukai Kastam serta beberapa kenderaan,” katanya.

Lim berkata demikian dalam kenyataan hari ini berhubung pencapaian Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Batas/Awas dan Op Taring Chiller.

Sementara itu, sebanyak 7,565 karton pelbagai jenis rokok dan 30,957.67 liter minuman keras dirampas menerusi 18 kejayaan operasi di Kota Samarahan, Padawan, Sibu, Bau, Kuching, Miri, Serian dan Bintangor.

Mengulas lanjut, Lim berkata, Op Taring Bravo merekodkan dua kejayaan di Limbang dan Lundu membabitkan kegiatan penyelewengan diesel serta penyimpanan beras tanpa dokumen atau permit yang sah.

“Operasi itu membawa kepada rampasan 64,000 liter diesel, 25,000 kilogram beras, lima tangki jenis SKID dan dua lori, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM824,780.

“Sementara itu, dua kejayaan Op Taring Chiller di Kuching dan Miri membabitkan kegiatan penyimpanan serta pengedaran produk sejuk beku tanpa permit yang sah,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 2,060 kilogram produk ayam sejuk beku, sebuah ‘forklift’ serta pelbagai peralatan dan mesin pemprosesan ayam dirampas, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM702,230.

Bagi Op Taring Batas/Awas pula, Lim berkata, empat kejayaan direkodkan di Serian membabitkan kesalahan berkaitan dadah, imigresen dan penyeludupan migran.

“Operasi berkenaan membawa kepada penahanan individu yang disyaki memiliki dadah serta terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen perjalanan atau permit yang sah,” jelasnya.

Katanya, motosikal, kenderaan, telefon bimbit dan wang tunai turut dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan menerusi operasi itu dianggarkan RM135,792.97.

Menurut beliau, kesemua individu yang ditahan dan barang rampasan diserahkan kepada jabatan serta agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

SERBUAN… Anggota PGA memeriksa stok produk sejuk beku menerusi Op Taring Chiller.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU