ARTIKEL

Ahmad Ibrahim ketika ditemui Suara Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, Ahad.

SMA Harap Sokongan Penaja Korporat Hidupkan Semula Cub Prix di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak Cub Prix mungkin boleh kembali direalisasikan sekiranya syarikat korporat besar termasuk PETRONAS atau PETROS tampil menyokong pembiayaan penganjuran perlumbaan kapcai berskala besar di Sarawak.

Presiden Persatuan Sukan Permotoran Sarawak (SMA), Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya sememangnya mahu melihat perlumbaan seperti Cub Prix kembali dianjurkan secara konsisten, namun kos tinggi dan kekurangan penaja menjadi kekangan utama.

Antara aksi perlumbaan Sarawak Cub Prix.

Menurutnya, SMA bukan bertindak sebagai penaja atau penganjur utama, sebaliknya berperanan menyokong kelab yang mahu menganjurkan perlumbaan dari segi kelulusan, pematuhan peraturan, aspek keselamatan dan perlindungan insurans.

“Memang kita mahu perlumbaan kapcai diadakan, tetapi kita perlukan penganjur dan pembiayaan.

“Kalau PETRONAS, PETROS atau mana-mana syarikat besar mahu tampil, insya-Allah ia boleh membantu menjayakan perlumbaan seperti ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Ahmad berkata, beliau difahamkan kos bagi menganjurkan satu acara perlumbaan berskala besar boleh mencecah antara RM2 juta hingga RM4 juta, bergantung skala dan keperluan penganjuran.

Justeru, beliau berharap mana-mana syarikat korporat yang berminat dapat bekerjasama dengan kelab penganjur bagi menghidupkan semula perlumbaan kapcai secara lebih tersusun.

Ahmad berkata, sebelum pandemik COVID-19, penganjuran perlumbaan kapcai lebih mudah dilaksanakan apabila terdapat sokongan penaja besar, malah beberapa lokasi boleh digunakan dalam satu musim.

Menurutnya, pihak kelab berkaitan perlu menjadi pihak utama mengendalikan perlumbaan kerana mereka mempunyai rangkaian peserta dan tenaga kerja bagi menguruskan acara.

Beliau berkata, SMA juga boleh membantu menyediakan perlindungan insurans berkaitan penganjuran, tetapi tidak mempunyai kapasiti untuk menjadi penaja acara.

Beliau menegaskan, SMA mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menganjurkan perlumbaan selagi semua garis panduan dan keperluan keselamatan dipatuhi.

“Kita tidak mahu lumba haram. Kalau mahu berlumba, buat secara teratur, ikut peraturan dan utamakan keselamatan,” katanya.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia kali terakhir dianjurkan di Sarawak pada 10 Ogos 2008 bertempat di litar jalanan sementara berdekatan Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.

BERITA LAIN

15 Individu Tamat Kursus Kejurulatihan

KUCHING: Seramai 15 individu berjaya menamatkan dan lulus Kursus Sijil Kejurulatihan Diploma ‘B’ AFC/FAM yang berlangsung di Kuching. Kursus berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu

BERITA TERBARU

15 Individu Tamat Kursus Kejurulatihan

KUCHING: Seramai 15 individu berjaya menamatkan dan lulus Kursus Sijil Kejurulatihan Diploma ‘B’ AFC/FAM yang berlangsung di Kuching. Kursus berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu