KUCHING: Seramai 22 individu diberkas polis akibat disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dari tempoh 24 hingga 30 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching di Kampung Siol Kandis, Kampung Tabuan Dayak, Kampung Tabuan Haji Drahman, Kampung Astana, Kampung Sungai Bedil Besar serta Kampung Tanjung Petrajaya.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan adalah berumur 19 hingga 53 tahun terdiri dari 19 lelaki dan tiga perempuan.
“Sebanyak 10 kes ditangkap di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan enam kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sembilan suspek mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.
“Pihak polis berjaya merampas dadah jenis Syabu seberat 6.84 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, dia menambah pasukan operasi turut menangkap enam lelaki dan dua wanita dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Tun Haji Openg di sini semalam.
Menurutnya, dadah jenis syabu seberat 10.20 gram dan empat biji pil eramin 5 seberat 0.97 gram turut dirampas dalam serbuan itu.
“Seramai empat suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dadah,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengalu-alukan maklumat dari orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.