30 kaunselor sahut cabaran bangunkan Padawan

KUCHING: Sebanyak 30 Ahli Majlis Perbandaran Padawan akan mengalas cabaran besar untuk pembangunan di kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Menurut Pengerusi MPP Lo Khere Chiang, majlis akan meneruskan pembangunan dan khidmat cemerlang bagi memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya, dalam satu mesyuarat bersama ahli majlis MPP, beliau menasihatkan ahli majlis termasuk 13 ahli majlis yang baharu dilantik untuk kerap turun ke lapangan bagi mendengar masalah dan keperluan rakyat.

Khere Chiang berkata, masyarakat di bawah pentadbiran MPP harus menjadi mata dan telinga kepada ahli majlis dengan melaporkan aduan termasuk masalah di kawasan mereka.

Jelas beliau, mereka boleh melaporkan aduan di WhatsApp MPP atau melalui tali khidmat mengenai aduan mereka.

Beliau menambah, kutipan cukai sebanyak RM12.8 juta yang dikutip digunakan membaik pulih jalan raya, sistem perparitan, laluan pejalan kaki dan pelbagai infrastruktur asas di kawasan MPP.

“Butiran ahli majlis MPP seperti nama dan nombor telefon akan diumumkan kepada orang ramai.

“Orang ramai boleh terus membuat aduan kepada ahli majlis di kawasan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perbandaran Padawan, Batu 10 Jumaat lalu.

Tambah Khere Chiang, hubungan rapat ahli majlis bersama rakyat kawasan MPP akan memastikan kawasan pentadbiran dibawah MPP akan terus memberi khidmat yang terbaik.

Katanya lagi, projek pembangunan seperti Tebingan Batu Kawa akan menjadi ikon pelancongan kepada kawasan tersebut apabila telah siap kelak.

Jelasnya, taman rekreasi sepanjang jalan di MJC Batu Kawah turut dibina bagi mereka yang sukakan aktiviti sukan dan riadah sambil menikmati alam sekitar.

Katanya, banyak kawasan pelancongan seperti rumah panjang dan kolam air panas Annah Rais, Taman Hidupan Liar Semenggok yang menjadi tarikan pelancongan di kawasan MPP.

Justeru, kata Khere Chiang, projek di bawah pelancongan MPP dan berkerjasama dengan ketua komuniti dalam membina infrastruktur asas di kawasan tersebut.

Suara Sarawak