KUCHING: Sebanyak 30 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan lima vendor bumiputera disasar menjadi peserta pasaran global menjelang 2030, bagi memastikan usahawan perabot Sarawak berdaya saing dan bertaraf dunia.
Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) dalam kenyataan berkata, pengeluar perabot tempatan sedang bergelut dengan isu kekurangan bahan mentah, tenaga mahir selain kesukaran mendapatkan pembiayaan untuk pengembangan perniagaan.

Menurutnya, ini kerana kebanyakan pengeluar kayu huluan berorientasikan eksport, di samping bahagian komponen perabot yang perlu diimport.
“Justeru di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Kerajaan Sarawak, industri perabot menjadi salah satu sektor ekonomi penting memacu Sarawak menjadi negeri maju dengan menjana RM4 bilion hasil eksport menjelang 2030.

“Ke arah itu, pelbagai inisiatif dikenal pasti termasuk program pembangunan PKS dan usahawan muda untuk memastikan usahawan perabot berdaya saing dan bertaraf dunia.
“Oleh demikian, program pembangunan PKS menyasarkan untuk memupuk 200 PKS dan 65 vendor perabot menjelang 2030, demi membantu sekurang-kurangnya 30 PKS dan lima vendor bumiputera menjadi peserta pasaran global,” katanya, hari ini.
Jelasnya, Sarawak juga berharap dapat memupuk dan melahirkan usahawan perabot profesional muda di bawah program pembangunan usahawan muda bagi merealisasikan aspirasi kerajaan itu.
Bagi menyokong strategi tersebut ujarnya, kerajaan sedang mewujudkan taman perabot di Kuching dan Tanjung Manis melalui kerjasama dengan pemain industri.

“Taman-taman perabot itu berpotensi menjana pelaburan sehingga RM500 juta.
“Dalam pada itu, sebuah makmal ujian perabot sedang dibina di Kota Samarahan untuk menyediakan perkhidmatan kepada pengeluar perabot tempatan, dan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian pasaran global untuk pasaran tempatan dan eksport,” tambahnya.
Inisiatif tersebut juga kata kenyataan itu lagi, bakal mencipta dimensi baharu membantu PKS termasuk vendor perabot bumiputera meningkatkan tahap baharu dan menembusi pasaran eksport.


