KUCHING: Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 2026 yang akan berlangsung di Naim Street Mall Paragon, Bintulu bermula dari 16 hingga 18 Oktober nanti dijangka sengit.
Ia berikutan pembabitan seramai 300 peserta yang akan bersaing dalam acara berprestij anjuran Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak (PMNS) itu.
Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim memberitahu, pihaknya menerima penyertaan jumlah tersebut setakat ini.
Justeru, tegas Jumaat, ia pasti mencetuskan persaingan sengit sepanjang tiga hari kejohanan itu berlangsung kelak.
“Setakat ini, seramai 300 peserta sudah mengesahkan diri dan kita tidak menolak kemungkinan saingan kali ini lebih berbeza,” ujar Jumaat kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau mengakui peserta terbabit merupakan jaguh sukan Muay Thai yang mewakili pelbagai kelab di seluruh Sarawak selain wakil pelbagai negara.
Mengulas mengenai penganjuran kejohanan itu, Jumaat menyatakan pihaknya komited untuk terus memperkasakan pembangunan sukan muaythai di Sarawak.
Beliau menyifatkan usaha berterusan penganjuran kejohanan itu sebagai pentas terbaik untuk melahirkan lebih ramai jaguh atau atlet pelapis baharu dalam sukan terbabit.
“Kita menganjurkan kejohanan ini bukan sahaja dilihat sebagai pentas untuk melahirkan ramai jaguh dalam sukan muaythai di peringkat Sarawak, tetapi melangkaui pentas kebangsaan dan dunia,” menurut beliau.
Beliau mengakui pelbagai acara sampingan turut dianjurkan bagi memeriahkan suasana, antaranya ‘sling shot’, dart, seni bela diri, e-sukan serta gerai jualan makanan dan minuman.
“Sudah menjadi tradisi PMNS untuk berkongsi tempat dengan persatuan-persatuan yang berminat bagi memberi peluang serta memeriahkan lagi kejohanan kali ini.
“Ia akan menjadi satu model serta cara hidup harmoni bagi masyarakat berbilang kaum di negeri ini agar Sarawak akan terus maju dan makmur.
“Sekali gus berperanan menjadi landasan terbaik mengeratkan hubungan silaturahim tanpa mengira bangsa dan agama,” tambah beliau.
Dalam pada itu, PMNS akan sentiasa berusaha untuk memajukan sukan muay di Sarawak dengan sokongan daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Lantas, ia menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan di negara ini sebagaimana yang diinginkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pihak PMNS juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada MYSED, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) atas sokongan yang diberikan selama ini,” jelas Jumaat.
Sementara itu, PMNS turut berharap mendapat sokongan daripada pihak korporat untuk terus menyumbang ke arah kemajuan sukan Muay Thai ini.



