KUCHING: Terdapat 303 daripada 987 projek fizikal yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Sarawak siap dilaksanakan setakat April tahun ini.
Timbalan Premier merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah keseluruhan projek tersebut sebanyak 684 bakinya masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Katanya, perbelanjaan kumulatif dari 2021 hingga April tahun ini juga adalah sebanyak RM27.7 bilion atau 69 peratus daripada keseluruhan siling RMK12.
“Kerajaan juga akan terus memudah cara pelaksanaan program dan projek untuk memastikan sasaran RMK12 tercapai termasuk merangka pendekatan proaktif dalam mengurus cabaran semasa dan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 1,387 projek dibiayai Kerajaan Sarawak dengan siling peruntukan berjumlah RM37.98 bilion juga diluluskan.
Menurutnya, daripada jumlah itu juga sebanyak 987 projek (71 peratus) ialah projek fizikal, manakala 400 projek (29 peratus) bukan fizikal merangkumi geran, sumbangan, pelaburan, program dan acara.
“Bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak 13,366 projek RTP diluluskan dengan peruntukan RM2.06 bilion dan setakat April lalu terdapat 7,490 projek atau 56 peratus telah siap, manakala 5,876 projek atau 44 peratus masih dalam pelaksanaan.
“Perbelanjaan kumulatif dari 2021 hingga April 2025 adalah sebanyak RM1.66 bilion atau 81 peratus daripada jumlah peruntukan yang diluluskan,” ujarnya.
Mengenai Projek Rakyat, ia menerima peruntukan sebanyak RM3.16 bilion di bawah RMK12 bagi pelaksanaan 735 projek dari 2021 hingga April 2025.
“Daripada jumlah ini, 648 projek atau 88 peratus merupakan projek fizikal, manakala 87 projek atau 12 peratus adalah bukan fizikal. Setakat ini, 351 projek atau 48 peratus siap dengan perbelanjaan sebanyak RM2.4 bilion, manakala baki 252 projek masih dalam pelaksanaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa di bawah Pelan Pusingan Keempat (RP4) RMK12, Kerajaan Persekutuan meluluskan RM5.3 bilion untuk 1,128 projek di Sarawak dan setakat Disember tahun lalu sebanyak RM4.5 bilion atau 86 peratus daripada jumlah tersebut dibelanjakan.
“Menerusi RP5 pula, sebanyak RM4.3 bilion diperuntukkan bagi 1,174 projek, dengan RM1.2 bilion atau 27 peratus dibelanjaka dan setakat April lalu, terdapat 206 projek atau 18 peratus siap, manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan,” tegasnya.

