BINTULU: Sebanyak 31 projek bekalan air berimpak tinggi bernilai sekitar RM234 juta siap dilaksanakan dan telah berjaya menangani beberapa isu bekalan air di Bahagian Bintulu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Sri Julaihi Narawi berkata, ia daripada keseluruhan 46 projek bekalan air berimpak tinggi bernilai RM758 juta yang sedang rancak dilaksanakan bagi menambah baik infrastruktur dan sistem bekalan air di bahagian tersebut.
“Manakala sejumlah lapan lagi projek bernilai sekitar RM118 juta masih dalam fasa pembinaan dan menunjukkan perkembangan yang positif serta memberangsangkan, walaupun sebelum ini menghadapi cabaran pelaksanaan berikutan penularan pandemik COVID-19.
“Di samping itu, terdapat tujuh projek dengan peruntukan RM416 Juta masih lagi berada dalam fasa perancangan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Tangki Air Aras Tinggi Samarakan, di sini, hari ini.
Menurutnya, projek-projek bekalan air tersebut telah dirancang dengan teliti oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana, serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di Bahagian Bintulu.
Sementara mengenai projek pembinaan tangki aras tinggi Samarakan yang bernilai lebih kurang RM15.7 juta, katanya ia telah siap sebanyak 98.31 peratus dan dijangka siap pada hujung tahun ini.
“Ia juga merangkumi pemasangan saluran paip baharu dan penambahbaikan kepada stesen pam penggalak sedia ada.
“Apabila projek ini siap sepenuhnya nanti, ia akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan DUN Jepak khususnya kawasan di sepanjang jalan Bintulu-Tatau,” tegasnya.
Tambahnya, kerajaan Sarawak komited meningkatkan liputan bekalan air sehingga 100 peratus di seluruh negeri menjelang 2025 dalam usaha menyelesaikan isu berkenaan secara efektif dan menyeluruh.


