BAU: Seramai 32 anggota pasukan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menjalani latihan penyelamatan bersepadu bagi meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai kecemasan serta bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran berkata, kursus empat hari yang bermula 17 November itu menghimpunkan anggota daripada empat pasukan khas, iaitu STORM, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Pasukan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Unit Anjing Pengesan (K-9).

Menurutnya, program anjuran Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Sarawak itu memberi tumpuan kepada pengukuhan kemahiran teknikal, penyelarasan tugas dan kerjasama antara pasukan bagi menghadapi operasi menyelamat yang mencabar.
“Kursus berkenaan merangkumi empat modul utama, iaitu operasi mencari dan menyelamat (SAR), teknik penyelamatan menggunakan tali, bantuan sokongan hayat awal serta penyelamatan di air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Pengukuhan Bersepadu Pasukan Khas JBPM Sarawak Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Tringgus Bong, di sini, semalam.
Katanya, kemahiran peserta turut diuji menerusi tiga simulasi kecemasan di sekitar Kampung Tringgus Bong, melibatkan penyelamatan mangsa lemas, mangsa tertimbus akibat tanah runtuh dan mangsa di tempat tinggi.

Bagi simulasi menyelamat mangsa lemas, beliau memaklumkan anggota dilatih menggunakan peralatan khusus untuk membawa mangsa keluar daripada sungai ke kawasan selamat sebelum bantuan perubatan diberikan oleh pasukan EMRS.
“Sementara itu, simulasi tanah runtuh memberi penekanan kepada penilaian risiko, usaha mengesan mangsa, kestabilan kawasan dan kaedah mengeluarkan mangsa tanpa membahayakan anggota penyelamat.
“Latihan menyelamat di tempat tinggi pula menguji kecekapan anggota mengendalikan sistem tali keselamatan, termasuk teknik menurunkan dan mengangkat mangsa dalam situasi kecemasan.
“Selain kemahiran teknikal, kursus itu turut menekankan pelaksanaan Sistem Pengurusan Insiden (ICS) yang merangkumi pembahagian tanggungjawab, komunikasi taktikal, pengurusan kawasan operasi serta penyelarasan pergerakan anggota,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran kursus itu sebahagian daripada usaha berterusan JBPM Sarawak memperkukuh keupayaan pasukan khas supaya sentiasa bersedia digerakkan ketika kecemasan, khususnya sepanjang musim monsun.
Katanya, latihan berkenaan juga bertujuan memastikan tindakan menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas, cekap dan terselaras demi melindungi nyawa serta harta benda masyarakat.
Turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Penguasa Kanan Bomba I Mohamad Fauzi Mohamat; Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak, Penguasa Kanan Bomba II Jesica Sylvester Embuas; Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Penguasa Kanan Bomba II Nik Muhammad Afiq Nik Roslan serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zainudin Ngatdemon.

