KUCHING: Tempoh 32 hari sebelum tirai Sukan Para SUKMA XXII Selangor 2026 dibuka menjadi penanda aras penting buat Kontinjen Para SUKMA Sarawak dalam memperkemaskan persiapan bagi mempertahankan gelaran juara keseluruhan.
Selain memperkukuh segala aspek persediaan pasukan, tempoh tersebut turut menjadi peluang terbaik untuk memperkemaskan misi memburu gelaran juara keseluruhan buat kali ke-15.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Hajah Fatimah Abdullah berkata, barisan jurulatih dan atlet perlu memanfaatkan tempoh itu sebaik mungkin.
Katanya, masa yang berbaki perlu digunakan untuk mempertingkatkan tahap kecergasan, memperkukuh kekuatan mental, memperbaiki teknik serta membina keyakinan diri dan semangat berpasukan.
“Bukan itu sahaja, tempoh ini memberi peluang untuk membina keyakinan diri dan bersatu hati demi mencapai satu matlamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kem Motivasi Kontinjen Para SUKMA Sarawak dan Program Countdown 32 Hari Menuju Temasya Para SUKMA XXII Selangor 2026 di sebuah hotel di bandar ini, hari ini.

Fatimah mengingatkan semua atlet yang diberi kepercayaan mewakili Sarawak supaya sentiasa berusaha meningkatkan prestasi, memahami hala tuju latihan serta mengamalkan disiplin yang tinggi.
“Mesti menjaga pemakanan, menjaga tahap kecergasan, menjaga waktu tidur, mendengar arahan jurulatih, sentiasa menghormati rakan sepasukan dan yang paling penting percaya kepada kemampuan diri sendiri,” katanya.
Beliau turut menyeru barisan jurulatih dan pegawai supaya terus komited serta berkorban dalam membimbing atlet sepanjang tempoh persiapan menuju temasya tersebut.
Kontinjen Para SUKMA Sarawak akan ke Selangor dengan status juara keseluruhan edisi 2024 dan bertekad mempertahankan gelaran itu.
“Pada Para SUKMA Sarawak 2024, kita berjaya merampas kembali gelaran juara keseluruhan dengan kutipan 82 pingat emas, 53 perak dan 74 gangsa.
“Hari ini saya mengingatkan atlet supaya tidak melepaskan mahkota kejuaraan itu. Kita ke Selangor bukan untuk menyerahkan kejuaraan, sebaliknya mahu mempertahankannya,” katanya.
Kontinjen Para SUKMA Sarawak akan bertanding dalam 10 acara sukan, iaitu boccia, para badminton, para boling padang, para catur, para memanah, para olahraga, para ping pong, para powerlifting, para renang dan para tenpin boling.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr. Mohamad Razi Sitam; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Nur Alina Abdullah; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak, Haji Semawi Mohamad; serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Mu’azamir Jili.






