MIRI: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong mengadakan latihan keselamatan kebakaran bersama kakitangan Chemsain Konsultant Sdn Bhd (Chemsain) hari ini.
Menurut Pengurus Makmal Chemsain, Margaret Bain, ia diadakan buat julung kalinya di pekarangan pejabat syarikat itu di Senadin.

“Selepas lebih 20 tahun berada di sini, kami belum pernah mengadakan latihan keselamatan kebakaran.
“Namun pihak auditor syarikat memberitahu bahawa ia adalah wajib untuk mengadakan latihan keselamatan kebakaran daripada bomba,” katanya.
Margaret berterima kasih kepada ketua BBP Lutong, PBT II Henry Jugah, yang mengetuai pasukan untuk memberikan latihan keselamatan kebakaran kepada kakitangan Chemsain.
Mereka mengadakan ‘fire drill’ dan demonstrasi menggunakan alat pemadam api yang disampaikan oleh PBK II Mohammad Faizul Ali bersama anggota Pasukan Charlie seramai 6 anggota.
Menurut Henry, latihan itu bertujuan untuk memberi kesedaran tentang betapa pentingnya keselamatan kebakaran dalam kalangan kakitangan mereka dan masyarakat.
Sehubungan itu, Henry menyeru semua syarikat swasta di bawah jagaan BBP Lutong untuk mengadakan latihan keselamatan kebakaran.



