ARTIKEL

32,308 Pengunjung Banjiri SCaT Fair 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 32,308 pengunjung menghadiri Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) tahun ini mencerminkan permintaan tinggi terhadap peluang latihan kemahiran dan pekerjaan di Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran program itu menjadi antara usaha kerajaan negeri menghubungkan pencari kerja dengan majikan, selain memperluas akses kepada latihan dan pembangunan kerjaya.

Katanya, pembangunan tenaga kerja tempatan terus diperkukuh menerusi Laluan Bakat Sarawak dan Program Khas Bumiputera (PKB) Sarawak 2026 bagi menyediakan laluan lebih jelas daripada latihan kepada pekerjaan.

“Inisiatif latih dan tempatkan di bawah laluan bakat menawarkan latihan bersubsidi berasaskan keperluan industri, termasuk pensijilan diiktiraf dan peluang pekerjaan, manakala PKB Sarawak 2026 menerima peruntukan RM2.5 juta bagi memperluas latihan kemahiran.

“Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) terus memperluas latihan dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, robotik dan aeroangkasa bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini

Roland berkata, Akademi Aeroangkasa CENTEXS yang ditubuhkan pada 2024 sudah melatih 296 peserta, manakala 36 graduan kumpulan pertama dalam bidang kepingan logam aeroangkasa dan operasi pemesinan menerima tawaran pekerjaan.

Sementara itu, Sarawak Skills akan memperluas latihan teknikal dan vokasional (TVET), termasuk dalam bidang penanaman nanas, kemahiran elektrik serta teknologi kenderaan elektrik, hibrid dan hidrogen bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.

“Usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran turut dilaksanakan melalui program pengiktirafan kemahiran berdasarkan pengalaman bekerja, pembelajaran kendiri dan aktiviti kemasyarakatan, selain pendedahan peluang pendidikan, latihan serta pekerjaan kepada lepasan SPM.

“Dalam perkembangan lain, Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) meluluskan 531 projek setakat 30 September 2026, dengan 129 daripadanya siap dilaksanakan daripada peruntukan awal RM1.5 bilion,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU