ARTIKEL

SIDC Capai 90 Peratus Siap, Pelancaran Rasmi Suku Ketiga 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) yang bernilai RM320 juta mencapai tahap siap 90 peratus setakat Ogos 2026, dengan pelancaran rasminya disasarkan pada suku ketiga 2027.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata ia sekali gus memperkukuh keupayaan Sarawak dalam penyelidikan penyakit berjangkit dan kesihatan awam.

Justeru, katanya SIDC memulakan kajian rintis farmakogenomik menggunakan teknologi penjujukan genom manusia PacBio bagi mengenal pasti variasi genetik yang berkaitan dengan tindak balas buruk rawatan tuberkulosis (tibi).

“Kajian ini bertujuan menyokong rawatan antibiotik yang lebih diperibadikan berdasarkan profil genetik setiap individu,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Selain itu, Sagah yang juga ADUN Tarat berkata dalam bidang penyelidikan, sebanyak RM18.38 juta diperoleh daripada UK Research and Innovation (UKRI), dengan kerjasama University of Sheffield, University of Liverpool dan BIOTEC-NSTDA dari Thailand, bagi menjalankan penyelidikan mengenai pencegahan dan kawalan Demam Babi Afrika.

Pada masa sama, beliau berkata SIDC akan menerima geran Proof of Concept berjumlah RM270,000 daripada UK-SEA Vax Hub untuk mengkaji kaedah penstabilan virus berasaskan silika bagi aplikasi vaksin.

“Inisiatif ini akan memperkukuh kerjasama penyelidikan antarabangsa serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) SIDC,” katanya.

Pada masa sama, Sagah berkata SIDC terus memperkukuh bakat saintifik tempatan melalui pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Australia, yang disokong oleh pembiayaan gabungan berjumlah RM1 juta.

Di samping itu, katanya sebanyak RM290,000 dalam bentuk pembiayaan luaran diperoleh bagi latihan khusus dalam bidang epidemiologi, genomik, pengawasan genomik dan penyelidikan vaksin di United Kingdom.

Berhubung Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), Sagah berkata pembangunan Hab Pusat Taman Bioindustri Sarawak (SBP) di Kota Samarahan akan memperluas keupayaan penyelidikan SBC serta menyediakan laluan yang lebih kukuh untuk menterjemahkan penemuan makmal kepada aplikasi komersial.

“Hab pusat itu dijangka siap menjelang 2028. Perpustakaan Produk Semula Jadi SBC yang komprehensif akan menjadi sumber utama bagi industri yang bakal beroperasi di taman tersebut,” katanya.

Manakala, katanya Bioverde Technologies (BVT) iaitu cabang komersial Majlis Biodiversiti Sarawak menerajui usaha menterjemahkan penyelidikan saintifik kepada produk sedia dipasarkan serta peluang ekonomi.

Beliau berkata usaha itu termasuk pengkomersialan LitSara, AdenoSara dan MadhuSara yang dihasilkan daripada kekayaan biodiversiti Sarawak.

Sagah menambah BVT telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan SBP, yang merupakan taman bioindustri pertama seumpamanya di rantau ini, serta turut menandatangani perjanjian strategik dengan lapan pemain industri, dengan nilai komersial dianggarkan berjumlah RM82.5 juta.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sarawak Tuan Rumah Kejohanan Robotik Dunia 2027

KUCHING: Sarawak bakal menjadi tumpuan dunia apabila dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Terbuka World Robot Olympiad (WRO) 2027. Perkembangan terkini itu bakal mengukuhkan kedudukan negeri