ARTIKEL

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HENDAK ELOK

resah tak tumbuh jadi rumput

bingung tak rendangkan rambun

sesal tak pencar rebak akar

sebal tak tambatkan pinggiran

diujar hendak tumbuh buluh

anjal sekali di lenturnya—

tapi manis rebung diratah

sehabis-habisan

dikata hendak kelok sungai

kebal sekali di susurnya—

tapi kekar tebing terhakis

tak diendahkan

dah kali tak lagi bergusi luhur

dah alur tak lagi bergigi aur

bagaimana elok hendak digapai?

NIR-SERIK

sedang saatnya di hembus nafas

hari dan tahun di setiap langkah—

kita selalu gagal iktibarkan detik

tergadai di pusar cuai

jarum; bukankah runcing anak panah?

mensasar amar ke petak benak

angka; bukankah degil pemeras hutang?

menuntut hitung jitu dan tepat

mengah dikejar suntuk

atau terkhianati keasingan awal

jam di tangan sudah uzur

menegur kita mengulangi khilaf

lagi

dan lagi.

TAWAR

andai rindu seorang ibu

adalah gegar anak-anak berlari

ke gebuk dapur

membawa hidung dan lidah kecur

pasti luruh tangisnya

kenangkan bibir yang mencicip

mengumandang puji lazat

diiring tambah nasi

bukan bahagianya—

jika juadah masih hangat

jika juadah cukup nikmat

berakhir dingin

dijamah basi dan lapar kulat

malah, tak ternamakan hibanya

kala selebar meja makan

hilang kerusi dan penghuni.

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU