MATU: Seramai 339 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menerima bakul makanan menerusi Program Agihan Mesra Rakyat Zon Loba Balu, hari ini.
Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya.

Program anjuran Pusat Khidmat Jemoreng dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Matu (LAKIM) bertujuan membantu meringankan beban penduduk, khususnya golongan memerlukan.
Juanda berkata, bantuan berkenaan diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian penerima, terutama bagi mendapatkan barangan keperluan asas keluarga.

Bakul makanan yang diagihkan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan makanan lain.
Di Zon Loba Balu, agihan membabitkan enam kawasan iaitu Rumah Entoi sebanyak 30 bakul, Rumah Barenh (12), Kampung Loba Balu (160), Kampung Halud (50), Kampung Sok (84) dan Kampung Bertong (63).

Pada program sama, Juanda turut menyampaikan sumbangan bakul makanan menerusi Program Sentuhan Kasih kepada warga emas di sekitar DUN Jemoreng.
Program itu turut menjadi platform mendekati warga emas, bertanya khabar serta memberikan sokongan moral kepada mereka, khususnya yang berdepan masalah kesihatan.



