BAU: Seramai 34 individu berdepan hukuman selepas Mahkamah Majistret Bau menjatuhkan keputusan terhadap pelbagai kes berkaitan dadah yang dibicarakan sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, kesemua tertuduh didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ia termasuk memiliki dadah serta menyalahgunakan bahan terlarang,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Haide, prosiding yang berlangsung hampir tanpa henti itu memperlihatkan peningkatan kes berkaitan dadah yang masih berlaku di daerah ini dengan kebanyakan tertuduh terdiri daripada lelaki tempatan berusia antara lingkungan 20-an hingga 40-an.
Katanya, mahkamah menjatuhkan hukuman berbeza mengikut jenis kesalahan termasuk denda sehingga ribuan ringgit dan penjara antara enam hingga 12 bulan.
“Bagaimanapun, beberapa tertuduh terpaksa menjalani hukuman penjara selepas gagal membayar denda yang dikenakan.
“Terdapat juga individu yang menghadapi lebih daripada satu pertuduhan sekali gus menerima beberapa hukuman berasingan dalam prosiding sama.
“Dalam beberapa kes, hukuman penjara diperintahkan bermula dari tarikh reman manakala sebahagian lagi bermula dari tarikh sabitan,” katanya.
Beliau menambah, kes-kes tersebut dikendalikan hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bau yang terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
Katanya lagi, pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
“Deretan sabitan itu sekali lagi menjadi gambaran bahawa masalah penyalahgunaan dadah masih belum reda dan terus menjadi antara cabaran utama pihak berkuasa di daerah Bau,” jelasnya.

