SIBU: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan STA Training Sdn Bhd (STAT), iaitu cabang latihan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA), telah mengadakan Kursus Penandaan Kayu Balak di Hotel Tanahmas bermula 22 dan berakhir hari ini.
Kursus tersebut disertai seramai 34 orang yang terdiri daripada penanda kayu balak, penyelia kolam balak dan pihak berkepentingan dalam industri kayu kayan.
Program yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman itu merangkumi aspek kritikal dalam penandaan kayu balak, teknik pengukuran, pelabelan balak, pengecaman spesies, dan rekod maklumat balak.
Turut dilaksanakan ialah penyerahan permohonan kepada FDS bagi penilaian royalti dan aktiviti pergerakan balak lain sepanjang rantaian jagaan balak Sarawak selaras Ordinan Hutan 2015.
Pengarah Hutan Sarawak, Datuk Hamden Mohammad berkata, kejayaan kursus ini mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kecekapan individu dalam sektor perhutanan.
“Ketepatan dalam penandaan kayu balak adalah penting bagi mencegah pengisytiharan yang tidak tepat dan melindungi hasil kerajaan dengan menghapuskan potensi kebocoran dalam kutipan royalti balak.
“Semua peserta digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang kursus ini bagi menambah dan memperkukuh pengetahuan serta kemahiran dalam penandaan kayu balak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian menerusi ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pegawai Hutan Wilayah Sibu, Ahmad Ashrin Mohammad Bohari.

Menurutnya, kesemua peserta dilatih dengan ilmu dan kemahiran dalam penandaan kayu balak melalui sesi bilik darjah serta latihan praktikal di lapangan di Pusat Kutipan dan Pengedaran (CDC) LPF0025, Batu 68, Jalan Sibu-Selangau.
Tambahnya, para peserta turut diajar teknik pengukuran tepat bagi dimensi kayu balak termasuk pengiraan isipadu pelbagai jenis balak seperti balak berlubang, bengkok dan yang mengalami kecacatan.
JHS dalam kenyataan sama turut menzahirkan penghargaan kepada semua barisan jurulatih dan peserta atas sumbangan menjayakan program hingga ke akhir.
“Usaha akan diteruskan untuk memperluaskan peluang latihan dan memperkukuhkan kerjasama dalam sektor perhutanan bagi memupuk pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan sumber secara bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

