ARTIKEL

Anyi Jana ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini.

6,000 penduduk RASCOM Ngemah tunggu hak milik tanah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Selepas lebih lima dekad menetap di Skim Penempatan Semula (SPS) RASCOM di Ngemah, kira-kira 6,000 penduduk dari lebih 60 rumah panjang masih menantikan penyelesaian isu hak milik tapak kediaman mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, tapak rumah panjang di SPS Nanga Jagau, SPS Nanga Ngungun dan SPS Nanga Tada masih berstatus tanah kerajaan walaupun penempatan berkenaan diwujudkan sejak 1972.

“Selepas lebih 50 tahun penubuhan SPS RASCOM, penduduk di tiga penempatan ini memohon surat hak milik bagi tapak rumah panjang mereka. Perkara ini memerlukan perhatian dan penyelesaian segera kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Penduduk terbabit dipindahkan ke kawasan berkenaan bagi mengekang ancaman komunis dan menjamin keselamatan masyarakat di bawah Markas Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM).

Beliau turut mencadangkan pembukaan kawasan penempatan baharu bagi menampung pertambahan penduduk sehingga generasi ketiga, selain pembinaan sistem jalan raya yang lebih terancang dan selamat.

Dalam aspek kesihatan, Anyi memohon supaya Klinik Kesihatan Nanga Ngungun dilengkapi pegawai perubatan dan perkhidmatan ambulans, mengambil kira kedudukannya yang strategik serta jumlah penduduk di kawasan sekitar.

Beliau juga menggesa pembinaan Dewan Serbaguna SPS Nanga Ngungun disegerakan, selain mencadangkan pembinaan stadium mini di kawasan itu.

Ketiadaan stadium mini di DUN Ngemah menyebabkan program yang memerlukan kemudahan berkenaan terpaksa diadakan di Kompleks Sukan Kanowit, di DUN Machan.

Mengenai infrastruktur jalan raya, beliau menggesa projek Jalan Nanga Ngungun-Nanga Bat-Nanga Jagau dipercepatkan, khususnya Pakej A bernilai RM50 juta dan Pakej C bernilai RM108 juta yang masih belum dimulakan. Pakej B dari Nanga Bat ke Nanga Pra pula telah siap.

Beliau turut memohon pelaksanaan jalan baharu sepanjang 5.5 kilometer dari SPS Nanga Ngungun ke Rumah Suzusie Lily, Sungai Baloh, dengan kos siling RM48.73 juta, serta jalan sepanjang 11.9 kilometer dari Jalan Nanga Dap ke Rumah Galih/Rumah Manggin, Nanga Buan, bernilai RM90.04 juta.

Penyambungan kedua-dua laluan itu berpotensi menghubungkan Nanga Dap, Nanga Ngemah dan SPS Nanga Ngungun, sekali gus merancakkan pembangunan di sebelah kanan mudik Sungai Rajang.

Selain itu, beliau meminta Jalan Batu Luking disambungkan ke kawasan Teluk, Batang Rajang, manakala jalan balak Nanga Dap-Nanga Jagau-Rantau Lugai dinaik taraf bagi meningkatkan akses penduduk di Hulu Sungai Ngemah.

Dalam perkembangan berkaitan, Anyi berkata, enam projek jalan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Rajang Tengah (MiRRDA) bernilai keseluruhan RM135 juta kini berada pada peringkat reka bentuk oleh juruperunding.

Projek berkenaan melibatkan naik taraf Jalan Feri Sedaya, Jalan Nanga Woh-Jalan Nibong Tada, jalan masuk ke SPS Nanga Jagau, jalan dalam SPS Nanga Jagau, Jalan Nibong Tada-Ulu Mapai serta Jalan Temawai Sandung, Ulu Sungai Woh.

“Sebagai wakil rakyat kawasan luar bandar, kita berharap inisiatif pembangunan kerajaan turut disalurkan dan benar-benar dinikmati rakyat di DUN Ngemah,” katanya.

BERITA LAIN

Sarawak teliti cadangan STOLport di Apau Koden

KUCHING: Cadangan pembinaan lapangan terbang pendek (STOLport) di Apau Koden akan diteliti bagi meningkatkan perhubungan udara untuk 27 kampung masyarakat Kenyah dan Penan di kawasan

Johnny gesa tambah baik penerbangan dari Bintulu

KUCHING: Kekerapan dan jadual penerbangan dari Bintulu ke Kuching, Kuala Lumpur serta Kota Kinabalu perlu ditambah baik bagi memenuhi peningkatan permintaan susulan perkembangan industri, perniagaan

BERITA TERBARU

Sarawak teliti cadangan STOLport di Apau Koden

KUCHING: Cadangan pembinaan lapangan terbang pendek (STOLport) di Apau Koden akan diteliti bagi meningkatkan perhubungan udara untuk 27 kampung masyarakat Kenyah dan Penan di kawasan

Hamzah cadang subsidi lesen memandu untuk B40

KUCHING: Kos mendapatkan lesen memandu yang membebankan golongan berpendapatan rendah mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, mencadangkan skim subsidi bagi membantu