KUCHING: Cadangan pembinaan lapangan terbang pendek (STOLport) di Apau Koden akan diteliti bagi meningkatkan perhubungan udara untuk 27 kampung masyarakat Kenyah dan Penan di kawasan Kedaya Telang Usan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, beliau akan meminta bahagian berkaitan di kementeriannya meneliti permohonan itu, termasuk keperluan penduduk setempat dan kebolehlaksanaan projek berkenaan.
Cadangan itu dikemukakan wakil Jawatankuasa Pembangunan Kedaya Telang Usan ketika mengadakan kunjungan hormat kepada beliau di sini, hari ini.
Jawatankuasa berkenaan mencadangkan pembinaan STOLport dengan landasan sepanjang 800 meter bagi memudahkan akses penduduk di kawasan pedalaman, selain menyokong aktiviti pertanian, pelancongan dan pembangunan sosioekonomi setempat.
Lee berkata, kementerian akan meneliti kesesuaian cadangan itu berdasarkan keperluan sebenar penduduk serta faktor kebolehlaksanaan sebelum tindakan susulan diambil.
Pembinaan STOLport itu diharap dapat meningkatkan akses pengangkutan bagi komuniti pedalaman, sekali gus menyokong kegiatan ekonomi dan menghubungkan kampung terbabit dengan kawasan lain.


