KUCHING: Kos mendapatkan lesen memandu yang membebankan golongan berpendapatan rendah mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, mencadangkan skim subsidi bagi membantu mereka memperoleh lesen secara sah.
Beliau berkata, bantuan itu wajar menyasarkan golongan B40, khususnya penduduk luar bandar, golongan muda dan warga emas yang memerlukan kenderaan untuk urusan harian tetapi berdepan kekangan kewangan.
Kos mendapatkan lesen boleh menyukarkan keluarga berpendapatan rendah memenuhi keperluan pengangkutan untuk bekerja dan menjalankan aktiviti harian.
“Jika kerajaan negeri dapat menyediakan subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan, walaupun sebahagian daripada kos lesen ditanggung, ia sudah cukup membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Hamzah berkata, cadangan itu berdasarkan pengalaman serta maklum balas penduduk di peringkat akar umbi, termasuk hasil pertemuannya dengan masyarakat di kawasan Stakan.
Sebahagian penduduk bergantung pada kereta dan motosikal terpakai kerana kekangan kewangan, selain perlu menanggung kos penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan berkenaan dapat dipertimbangkan bagi memperluas akses golongan berpendapatan rendah kepada pengangkutan yang selamat dan mematuhi undang-undang, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.


