KUCHING: Kekerapan dan jadual penerbangan dari Bintulu ke Kuching, Kuala Lumpur serta Kota Kinabalu perlu ditambah baik bagi memenuhi peningkatan permintaan susulan perkembangan industri, perniagaan antarabangsa dan pertambahan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kementerian berkaitan bersama AirBorneo dan syarikat penerbangan lain perlu menilai permintaan penumpang serta menyesuaikan jadual penerbangan, khususnya bagi memenuhi keperluan pengembara perniagaan.
Jadual penerbangan yang tidak sesuai boleh menyebabkan pengembara terpaksa bermalam walaupun urusan mereka singkat, sekali gus meningkatkan kos perjalanan dan mengurangkan masa bersama keluarga.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Johnny menyambut baik komitmen kerajaan untuk memperkukuh AirBorneo dan meningkatkan kesalinghubungan udara Sarawak, namun menegaskan keperluan Bintulu perlu diberi perhatian memandangkan peranannya sebagai antara pusat perindustrian utama negeri.
Katanya, Bintulu memainkan peranan penting dalam ekonomi Sarawak menerusi sektor minyak dan gas, pembuatan, operasi pelabuhan serta pembangunan Samalaju.
Sehubungan itu, beliau turut menyambut baik peruntukan RM36.6 juta bagi projek infrastruktur perindustrian terpilih di Sarawak, termasuk peluasan Kluster Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Samalaju.
Bagaimanapun, kejayaan pembangunan industri perlu turut diukur berdasarkan pertumbuhan perniagaan tempatan, peluang pekerjaan bergaji lebih baik dan peningkatan pendapatan keluarga, bukan hanya jumlah kilang atau nilai pelaburan.
Beliau berkata, pembukaan kilang baharu berpotensi mewujudkan peluang ekonomi dalam sektor pengangkutan, logistik, penyelenggaraan, bekalan makanan, kejuruteraan dan perkhidmatan sokongan lain.
Dalam aspek infrastruktur, Johnny mencadangkan agar Jalan Tanjong Batu dinaik taraf kepada jalan berkembar enam lorong, iaitu tiga lorong bagi setiap arah, bagi menampung peningkatan trafik susulan pembangunan kawasan kediaman dan komersial.
Beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pembinaan hospital awam kedua di Bintulu melalui saluran Kerajaan Persekutuan bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk yang semakin meningkat.
Selain itu, beliau berharap Bintulu turut diberi perhatian dalam pembangunan rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan keluarga muda dan pembeli rumah pertama.
Pembangunan Bintulu perlu disokong oleh kesalinghubungan udara, infrastruktur dan kemudahan awam yang seiring dengan pertumbuhan ekonomi supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh penduduk setempat.


