KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menunjukkan trend penurunan, namun 34 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif setakat jam 5 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata kesemua PPS menempatkan seramai 6,259 mangsa daripada 1,831 keluarga.
“Miri mencatatkan jumlah tinggi dengan 11 PPS aktif dan 1,390 mangsa banjir.
“Sementara tujuh PPS masih aktif di bahagian paling terjejas, iaitu Bintulu, yang menempatkan 2,466 mangsa,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, bahagian lain yang masih mempunyai PPS aktif ialah Serian (dua), Samarahan dan Mukah (empat) serta Sibu (lima).
Sementara itu, satu PPS yang menempatkan mangsa kebakaran di Sibu masih aktif dengan seramai 35 mangsa daripada tujuh keluarga.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Metereologi Malaysia mengeluarkan amaran bahawa hujan berterusan bakal melanda beberapa bahagian di Sarawak hingga esok hari.
Berdasarkan laporan itu, antara kawasan terjejas adalah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei, Sibu (Sibu) dan Mukah.
Hujan berterusan juga dijangka akan melanda di beberapa bahagian di Sabah, iaitu di Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat.

