KUCHING: Seramai 35,676 (37.2 peratus) pekebun kecil yang memohon BUDI Agri-Komoditi diluluskan setakat September 2026 di Sarawak.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sebanyak 17,479 permohonan diluluskan bagi sektor sawit, diikuti getah (7,310), koko (232) dan lada (10,655).
“Manakala, seramai 95,883 pekebun kecil telah dikenal pasti layak menerima bantuan bagi tempoh yang sama.
“Sebanyak 37,631 pekebun kecil bagi sektor sawit layak menerima bantuan, diikuti getah (19,644), koko (555) dan lada (38,053),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu ketika Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen Malaysia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengambil maklum masih ramai pekebun kecil yang belum mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan tersebut walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan.
Menurutnya lagi, KPK telah mengaktifkan bilik gerakan dan menyediakan talian hotline melalui agensi di bawah kementerian bagi menyelaras penyaluran maklumat serta pertanyaan daripada golongan sasar sektor agrikomoditi berhubung pelaksanaan inisiatif BUDI Agri-Komoditi.
“Setiap pertanyaan akan disalurkan kepada agensi berkaitan mengikut subsektor masing-masing untuk tindakan dan maklum balas selanjutnya,” jelasnya.
Tambahnya, pihak kementerian juga akan terus mengadakan sesi turun padang BUDI Agri-Komoditi secara berkala melibatkan aktiviti taklimat dan kaunter pendaftaran bagi membantu pekebun kecil dalam urusan pendaftaran BUDI Agri-Komoditi secara bersemuka.
“Selain itu, KPK juga telah memperluaskan peranan pejabat cawangan agensi di Sabah dan Sarawak serta melibatkan Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) serta pegawai agensi di lapangan.
“Langkah ini bagi menyebarluaskan maklumat dan membantu urusan permohonan BUDI Agri-Komoditi,” ujarnya.
Pada masa sama, perbincangan pada peringkat pegawai juga telah diadakan bersama wakil Kementerian Kewangan (MOF).
“Kita mahu mengenal pasti mekanisme pelaksanaan yang bersesuaian menerusi rangkaian agensi KPK di kedua-dua negeri,” katanya.
Sementara itu, BUDI Agri-Komoditi merupakan sumbangan tunai Kerajaan Persekutuan lanjutan daripada pelaksanaan program penyasaran semula subsidi diesel.
Dalam konteks KPK, bantuan subsidi tunai disediakan kepada pekebun kecil sawit, getah, koko, lada, dan kenaf di Semenanjung Malaysia yang berdaftar dengan KPK untuk dimanfaatkan susulan kenaikan kos diesel jentera pertanian yang digunakan.
Pada 22 Jun 2026, penyasaran subsidi diesel melalui bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi pada kadar RM400 sebulan juga diberikan kepada pekebun kecil yang layak di Sabah dan Sarawak.





