KUCHING: Pengalaman dan sumbangan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sepanjang perjalanan kerjayanya bakal diketengahkan menerusi penerbitan buku yang diusahakan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Tun Wan Junaidi merakamkan penghargaan kepada delegasi UTS atas kunjungan hormat serta komitmen yang ditunjukkan dalam usaha menerbitkan buku berkenaan.
“Besar harapan agar kerjasama ini dapat berjalan dengan lancar dan menghasilkan sebuah penerbitan yang berkualiti.
“Pada masa sama, menyampaikan maklumat bermakna berkaitan pengalaman dan sumbangan beliau kepada masyarakat Sarawak dan negara,” katanya menerusi satu kenyataan Facebook, hari ini.
Sementara itu, UTS mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Wan Junaidi bagi membantu UTS mendapatkan maklumat dan perspektif lebih mendalam berkaitan perjalanan beliau.
Ia sekali gus memastikan buku berkenaan menggambarkan perjalanan kehidupan serta sumbangan beliau secara menyeluruh.
Delegasi UTS diketuai Naib Canselor, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman, selain diiringi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Mohd Zainal Munshid Harun.
Hadir sama Pengarah Pusat Penerbitan Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Abong Abdullah, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Profesor Madya Dr. Mohd Zahid Abidin serta Ketua Jabatan Korporat dan Perhubungan Mohd Ian Daim Mahmud.




