ARTIKEL

Peserta bergambar beramai-ramai sejurus selesai program di SK Selanyau, Bekenu.

36 mahasiswa perkasa ilmu digital bersama komuniti Selanyau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEKENU: Pendedahan kepada teknologi Internet of Things (IoT) dan robotik, selain amalan pertanian mampan serta kitar semula, menjadi antara tarikan utama program Komuniti Bijak 2.0 (SMARTCOM 2.0) yang menghimpunkan 66 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Selanyau bersama komuniti setempat.

Program selama tiga hari dari 27 hingga 29 Julai lalu itu membabitkan 36 mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan sokongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Selanyau serta SK Selanyau.

Program dirasmikan Pegawai Tadbir Sibuti, Mohd Fazly Juna, dengan pengisian merangkumi pendidikan alam sekitar, teknologi digital, kesihatan, pertanian lestari, pertukaran budaya dan pembelajaran berasaskan komuniti.

Menerusi penglibatan UNIMAS, murid menyertai Explorer Cilik yang mengetengahkan aspek keselamatan, penjagaan alam sekitar, komunikasi, kemahiran sosial dan kemudahan awam secara interaktif, selain aktiviti My Dream Playground yang menggalakkan mereka menghasilkan reka bentuk taman permainan selamat, inklusif serta mesra alam.

UNIMAS turut memperkenalkan kaedah menghasilkan sabun pencuci menggunakan minyak masak terpakai kepada 30 peserta, sekali gus membuka peluang kepada komuniti melihat potensi sisa domestik untuk dimanfaatkan semula menerusi pendekatan ekonomi kitaran.

UMS pula memberi fokus kepada penghasilan kompos dan tanaman hidroponik sebagai kaedah mengurus sisa organik, memperbaiki kesuburan tanah serta menghasilkan makanan dalam skala kecil.

Sebagai kesinambungan, satu set hidroponik dan satu set pengkomposan diserahkan kepada ketua kampung untuk dimanfaatkan masyarakat.

Sementara itu, UTM mengetengahkan teknologi IoT dan robotik menerusi aktiviti berkaitan sensor, automasi serta penggunaannya dalam kehidupan harian, sekali gus memberi pendedahan awal kepada murid terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Program turut diserikan dengan pemeriksaan pergigian oleh Pejabat Pergigian Miri, aktiviti rekreasi, penyediaan makanan bersama penduduk serta Malam Rentak Budaya.

Penglibatan 12 keluarga angkat membolehkan mahasiswa menyelami kehidupan, adat dan hubungan sosial masyarakat Kampung Selanyau.

Penasihat Program UNIMAS, Dr Farah Zaini berkata, SMARTCOM 2.0 bukan sekadar aktiviti khidmat masyarakat, sebaliknya platform pembelajaran dua hala yang membolehkan ilmu universiti diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal untuk komuniti, di samping membina kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah dalam kalangan mahasiswa.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU