BAU: Sebanyak 37 saman dikeluarkan polis dalam Op Motosikal yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Bau petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahma berkata, operasi yang bermula jam 4 petang hingga 8 malam itu memfokuskan pemeriksaan di Jalan Tondong/Apar/Redeems Centre, Singai Bau dan Jalan Kampung Daun.
“Hasil pemeriksaan ke atas 65 buah motosikal dan 73 individu mendapati pelbagai kesalahan trafik dilakukan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikesan ialah tiada cermin pandang belakang dan pengubahsuaian ekzos dengan masing-masing 10 saman, diikuti pengubahsuaian struktur/peralatan sebanyak enam saman.
Selain itu, tiada lesen memandu (empat kes), nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (empat kes) dan tidak memakai topi keledar (tiga kes).
“Sebuah motosikal turut disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.




