ARTIKEL

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah kawasan perumahan di sini disimbah cat merah.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berkaitan tuntutan bayaran hutang pinjaman wang dalam talian yang dibuat oleh anak lelaki pengadu.

Menurutnya, pengadu menyedari kejadian itu kira-kira jam 10 malam, 21 Oktober lalu, selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediamannya.

“Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki tidak dikenali datang ke rumah pengadu sebelum seorang daripada mereka menyimbah cat merah pada pintu pagar dan lantai di bahagian hadapan rumah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebelum kejadian, pengadu menerima mesej daripada individu menggunakan nama ‘Kelvin’ yang menuntut bayaran hutang pinjaman wang dalam talian yang didakwa dibuat oleh anak lelakinya.

Pengadu turut menerima mesej berunsur ugutan sekiranya bayaran itu tidak dijelaskan.

Menurut Mohd Farhan, anak lelaki pengadu sebelum ini pernah membuat pinjaman wang dalam talian daripada individu yang dipercayai menjalankan kegiatan pemberian pinjaman wang tanpa lesen.

“Walaupun hutang terdahulu didakwa telah diselesaikan, anak lelaki pengadu memaklumkan bahawa dia membuat satu lagi pinjaman berjumlah RM200 daripada pemberi pinjaman wang dalam talian yang lain.

“Susulan kejadian itu, pengadu membuat laporan polis pada 22 Oktober lalu, kira-kira jam 3.11 petang,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 32 tahun oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

Keempat-empat suspek ditahan menerusi empat siri tangkapan di sekitar Kampung Pujut Tanjong Batu pada 23 dan 26 Oktober lalu.

“Hasil soal siasat mendapati keempat-empat suspek terbabit dalam kes khianat menyimbah cat seperti yang dilaporkan.

“Penahanan itu turut membolehkan polis menyelesaikan dua kes khianat menyimbah cat yang masing-masing dilaporkan pada 20 dan 22 Oktober lalu,” katanya.

Polis turut merampas beberapa telefon bimbit, pakaian, selipar, dua motosikal dan dua topi keledar yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohd Farhan menegaskan bahawa polis memandang serius perbuatan ugutan, khianat dan intimidasi yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayan ugutan atau tuntutan mencurigakan berkaitan pinjaman wang dalam talian dan segera membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa atau mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama itu,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

16 pasukan bertanding, Akademi SJN muncul juara

KUCHING: Akademi SJN dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 kategori Bawah 12 Tahun (B-12) selepas menewaskan Akademi Nexus 2-1 pada