KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan asas itu.
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Nazib Johari berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan langkah penting memperkukuh infrastruktur bekalan air serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Usaha ini selari dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif tanpa meminggirkan keperluan rakyat di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM444.96 juta bagi memperkukuh infrastruktur bekalan air di Sabah, termasuk penggantian saluran paip kritikal dan pelaksanaan langkah mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, usaha meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air di Labuan turut diteruskan menerusi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penggantian komponen kritikal – merangkumi penggunaan teknologi pintar bagi memantau sumber air bawah tanah sebagai alternatif bekalan air pada masa hadapan.
Pendekatan berkenaan menunjukkan pembangunan kemudahan asas turut diberi tumpuan kepada keperluan penduduk di kawasan luar bandar, pedalaman dan wilayah yang berdepan kekangan infrastruktur, selain kawasan bandar serta pusat ekonomi utama.
Beliau berkata, bekalan air bersih bukan sekadar pembangunan fizikal, malah merupakan keperluan asas yang berkait rapat dengan kesihatan awam, pendidikan, ekonomi setempat, peluang pekerjaan dan kesejahteraan keluarga.
Sehubungan itu, Ahmad berharap usaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat diteruskan menerusi penyelarasan erat bersama kerajaan negeri.
Tambahnya, komitmen Kerajaan MADANI terhadap Sabah, Sarawak dan Labuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan negara lebih seimbang dan inklusif, sekali gus menjamin akses setiap wilayah kepada kemudahan asas yang sewajarnya.






