BAU: Seramai 38 individu ditangkap dan dibawa ke Mahkamah Majistret Bau pada Khamis dan semalam atas kesalahan berkaitan dadah, dengan hukuman denda, penjara dan pengawasan tambahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman, tindakan ini bertujuan untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat serta menegaskan bahawa pelibatan dalam jenayah dadah tidak akan dipandang ringan.
“Daripada jumlah tersebut, 28 individu dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Haide menambah, mahkamah menjatuhkan denda antara RM2,800 hingga RM4,000 kepada tertuduh, manakala mereka yang gagal menjelaskan denda dikenakan penjara tujuh hingga 12 bulan.
Beliau berkata, hukuman pengawasan tambahan selama tiga tahun turut dikenakan bagi memastikan pematuhan undang-undang selepas penjara.
“Beberapa individu menghadapi dua hingga tiga pertuduhan di bawah Seksyen yang sama, menunjukkan tahap serius pelibatan mereka dalam aktiviti dadah.
“Selain itu, dua individu mengaku bersalah di bawah Seksyen 12(2) Akta yang sama. Kedua-duanya dikenakan denda RM3,000 dan sekiranya gagal membayar, penjara enam hingga 12 bulan akan dikenakan,” katanya.
Ujar Mohd Haide, seorang lagi individu mengaku bersalah di bawah Seksyen 39A(1) dan dijatuhkan hukuman penjara 27 bulan serta tiga sebatan.
Katanya, sidang litar ini dijadualkan bersidang pada minggu keempat setiap bulan bagi mendengar kes-kes berkaitan dadah, sebagai langkah berterusan memastikan penguatkuasaan undang-undang lebih efektif sehingga ke akar umbi.
Beliau menegaskan, pihak polis akan terus bekerjasama dengan pihak pendakwaan untuk memastikan mereka yang terlibat dalam jenayah dadah menerima hukuman setimpal sejajar usaha mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.


