MIRI: Kira-kira 3,800 perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dari Zon Utara dijangka menghadiri Konvensyen Khas PBB Zon Utara yang berlangsung di Stadium Tertutup Miri, Ahad ini.
Konvensyen berkenaan akan dirasmikan oleh Premier merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagi memastikan persiapan konvensyen berjalan lancar dan teratur, Timbalan Premier merangkap Timbalan Presiden, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Konvensyen Khas PBB Zon Utara di Miri.
Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada persiapan dan penyelarasan akhir bagi memastikan kelancaran perjalanan konvensyen yang dijadualkan berlangsung pada 13 September ini.
Konvensyen khas itu dijangka menghimpunkan wakil pergerakan pemuda, wanita, belia dan cawangan pusat dari 18 cawangan PBB di Belaga, Bintulu, Miri, Marudi, Limbang, Lawas dan Ba’ Kelalan.
Ia sekali gus merupakan sebahagian daripada inisiatif parti untuk memperkukuh akar umbi, selain memastikan para perwakilan memahami dasar kerajaan serta perjuangan parti di samping mengukuhkan semangat perpaduan dan kesepakatan.




