LAWAS: Seramai 39 individu di sini ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam satu operasi khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak sejak 28 Julai hingga 1 Ogos lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, kesemua mereka berusia antara 23 hingga 52 tahun terdiri daripada 36 lelaki dan tiga perempuan.
“Dalam operasi ini, sejumlah 77 pemeriksaan dijalankan melibatkan tujuh kampung, dua kawasan perumahan dan dua kawasan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mancha, seramai 31 individu merupakan penagih telah ditahan, diikuti enam individu dengan kesalahan lain; dan dua tokan dadah antara suspek yang ditahan.
Sementara itu kata beliau, seramai 31 individu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952; lima individu di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952; manakala seorang individu ditahan di bawah Seksyen 39b adb 1952; Seksyen 39a(2) ADB 1952 serta Seksyen 6 ADB 1952.
Dalam operasi tersebut katanya, sebanyak 88.75 gram dadah syabu, 3.7 gram dadah ganja dan 0.64 gram dadah ketamin yang dianggarkan bernilai RM10,001.50 berjaya dirampas.
“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan
oleh seramai 500 orang penagih dadah,” katanya.
Dalam perkembangan lain kata Mancha, sepanjang 1 Januari hingga 31 Julai lepas, PDRM telah melaksanakan 6,673 tangkapan termasuk 338 tokan dadah berjaya dicekup.
Katanya lagi, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM12,352,059.22 dan menyita harta disyaki hasil pendapatan pengedaran dadah bernilai RM3,204,633.15.

