KUALA LUMPUR: Sebanyak 397 penerbangan dijadualkan dari pelbagai destinasi di Semenanjung Malaysia ke destinasi-destinasi di Sarawak setiap minggu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 120 peratus berbanding 181 penerbangan seminggu bagi tempoh sebelum penularan wabak COVID-19 dahulu.
“Pada masa ini, syarikat-syarikat penerbangan negara beroperasi secara keseluruhan sebanyak 397 penerbangan seminggu, dari pelbagai destinasi di Semenanjung Malaysia ke destinasi-destinasi di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, di Dewan Rakyat semalam.
Edwin meminta tindakan strategik oleh Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk mengatasi kekurangan penerbangan yang menyebabkan kenaikan harga tambang tidak menentu, khasnya di Sarawak.
Jelas Anthony, MoT sentiasa menggalakkan syarikat penerbangan negara memulakan atau meningkatkan operasi penerbangan, khususnya di laluan-laluan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dengan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk meningkatkan kekerapan bagi laluan tersebut adalah keputusan komersial yang dibuat oleh syarikat penerbangan berasaskan kepada daya maju komersial laluan.
Tambah Anthony, MoT memandang serius keluhan rakyat tentang harga tambang tiket penerbangan, terutamanya pada musim perayaan.
“Sehubungan itu, bagi menangani masalah harga tiket penerbangan yang tinggi semasa musim puncak, MoT telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan domestik.
“Hasil perbincangan, syarikat-syarikat penerbangan bersetuju menambah kapasiti penerbangan dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan.
“Kerajaan melalui MAVCOM akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestic, termasuk laluan-laluan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.


