KOTA SAMARAHAN: Empat penghuni selamat dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong 12, 1 D, Taman Uni Garden di sini pada awal pagi, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 5.18 pagi dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dan BBP Tabuan Jaya ke lokasi.
Katanya kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar dianggarkan 60 peratus, melibatkan tiga bilik tidur di tingkat atas.
“Kesemua empat orang penghuni yang terdiri daripada dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke bahagian bawah rumah, dengan operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan serta satu aliran salur bantu mula menggunakan teknik pemadaman secara ‘offensive’ dan ‘defensive’.

