KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 400,000 batang rokok putih disyaki tidak bercukai bernilai RM813,000 serta menahan seorang lelaki dalam Ops Taring Alpha 1 di Kampung Pulau Panjang, malam tadi.
Suspek berusia 29 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri. Pemeriksaan ke atas dua kenderaan menemukan 40 kotak mengandungi rokok jenama SAAT.
Menurut Bernama, siasatan mendapati kedua-dua kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu. Suspek mengaku rokok itu dihantar ke Kuala Besut, Terengganu dengan upah antara RM150 hingga RM200 bagi setiap penghantaran.
Beliau turut mendakwa tidak mengenali dalang sindiket dan hanya berurusan menerusi aplikasi komunikasi Buzz.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




