ARTIKEL

Datuk Lukanisman Awang Sauni | Bernama

3,322 rakyat Malaysia ditahan di luar negara, 1,588 babit kes dadah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Seramai 3,322 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan setakat September tahun ini, dengan 1,588 orang daripadanya terlibat dalam kes berkaitan dadah.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, jumlah rakyat Malaysia yang ditahan atas kesalahan berkaitan dadah itu meningkat berbanding 1,303 orang pada 2025.

“Kes penahanan rakyat Malaysia berkaitan dadah direkodkan di 40 buah negara, menjadikan kerjasama antarabangsa penting dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan.

“Indonesia merekodkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia ditahan di luar negara iaitu 381 orang, diikuti China (380), Singapura (310), Thailand (102) dan Jepun (72),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Brodi mengenai jumlah rakyat Malaysia yang ditahan atau didakwa atas kesalahan berkaitan dadah di luar negara, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Lukanisman memberi jaminan bahawa hak dan kebajikan semua tahanan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara melalui perwakilan diplomatik di luar negara.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu Kementerian Luar turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan agensi berkaitan bagi menangani isu rakyat Malaysia yang diperdaya sindiket dadah, termasuk melalui tawaran pekerjaan palsu.

“Kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan dengan negara yang merekodkan jumlah tangkapan tinggi bagi memperkukuh kerjasama dan menangani isu berkenaan.

“Melalui platform ASEAN ini, kita akan memperkukuh perbincangan melalui nota-nota yang dapat kita bentangkan dalam persidangan pelbagai hala pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, usaha membanteras penyeludupan dadah memerlukan kerjasama berterusan antara negara.

“Pada masa sama, memerlukan penambahbaikan dari segi penguatkuasaan bagi mengelakkan rakyat Malaysia terus menjadi mangsa sindiket berkenaan,” ringkasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU