KUCHING: Remaja yang ditempatkan di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney perlu menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Rosoman Abu Bakar berkata masa lalu bukan penentu masa depan seseorang, sebaliknya keazaman untuk berubah dan memperbaiki diri menjadi kunci membina kehidupan lebih baik.
“Pesanan penting saya kepada anda semua, pandang ke depan dengan penuh keyakinan.

Kejayaan besar sedang menanti di setiap langkah baharu yang diambil hari ini.
“Jadikan pengalaman yang telah dilalui sebagai guru dalam mengharungi kehidupan.
Manfaatkan masa yang ada di institusi ini untuk bermuhasabah, menimba ilmu, membina kemahiran, dan memperkukuh disiplin diri.
Ingatlah bahawa ukuran sebenar kehidupan seseorang bukan pada bagaimana dia bermula tetapi pada bagaimana dia mengakhirinya.
“Sentiasa pasangkan azam di dalam diri, ‘aku mahu berubah, aku mampu berubah, dan aku berhak mempunyai masa depan yang cerah’.
Bina kekuatan diri dan elakkan daripada kembali terlibat dalam perkara-perkara yang merugikan diri, keluarga, dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Hijrah Kasih Kali Ke-18 Kementerian Pendidikan Tahun 2026 di Penjara Puncak Borneo di sini, hari ini, yang disertai seramai 70 murid Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.
Justeru, Rosoman menyifatkan Program Hijrah Kasih yang bermula sejak tahun 2011 sehingga kini membuktikan komitmen berterusan antara Jabatan Penjara dan Kementerian Pendidikan dalam menyantuni anak-anak daripada pelbagai latar belakang untuk memperoleh pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan.
Beliau menambah kerjasama itu juga merupakan manifestasi bagi memastikan perkhidmatan pendidikan serta pemulihan modal insan dapat dinikmati secara inklusif dan saksama.
“Di peringkat Jabatan Penjara, fungsi institusi penjara adalah berteraskan pendekatan pemulihan dan pendidikan modal insan.
“Penempatan di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney direka untuk menyediakan persekitaran yang selamat serta kondusif bagi mengilap potensi, memartabatkan maruah dan menyemai harapan baharu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Dr Md. Zuraini Mashrom berkata Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk memastikan pendidikan dapat dinikmati oleh semua lapisan, termasuk mereka yang berada di dalam institusi pemulihan.
Justeru, katanya Program Hijrah Kasih merupakan manifestasi komitmen Kementerian Pendidikan dalam menjayakan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 untuk merapatkan jurang pendidikan, memperkukuh akses dan ekuiti, serta memastikan setiap murid tanpa mengira latar belakang mendapat peluang pendidikan yang berkualiti, inklusif dan bermakna.
Beliau menambah program itu juga menunjukkan keprihatinan kementerian dalam usaha untuk membangunkan insan sejahtera yang memiliki Karamah Insaniah yang tinggi.
Lantaran itu, beliau berkata selain daripada pencapaian akademik, Kementerian juga memberikan tumpuan dengan pendidikan manusiawi bagi melahirkan insan mulia yang beradab, mengamalkan nilai-nilai kasih sayang, saling menghormati dan berbuat ihsan.
“Dalam perjalanan hidup ini, ilmu pengetahuan menerangi kegelapan, memberi petunjuk dan membimbing ke jalan kebenaran.
“Manakala pendidikan pula bagaikan suara yang membisikkan harapan ke dalam jiwa bahawa masih ada ruang masa depan yang terbentang luas untuk berjaya dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
“Inilah roh Pendidikan Manusiawi, yang menggilap potensi, memartabatkan maruah dan menyemai harapan. Pendidikan yang menjadi jambatan dalam menghubungkan pengalaman masa lalu dengan masa depan yang cemerlang,” katanya.






