ARTIKEL

Pensyarah Kanan Ekonomi Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr. Dzul Hadzwan Husaini

Daya tahan ekonomi penting hadapi kenaikan harga makanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Amaran Bank Dunia berkaitan kenaikan harga makanan global hingga 2027 perlu dilihat sebagai satu isyarat penting kepada Malaysia untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Pensyarah Kanan Ekonomi Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr. Dzul Hadzwan Husaini berkata, kekuatan sesebuah ekonomi bukan hanya diukur melalui kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Tetapi, juga melalui keupayaannya melindungi kuasa beli, menjamin bekalan keperluan asas dan membolehkan rakyat meningkatkan taraf hidup melalui pendapatan yang lebih produktif dan mampan.

“Kita memerlukan gabungan dasar yang memperkukuh nilai ringgit melalui asas ekonomi yang mampan, meningkatkan daya tahan sistem makanan negara serta mempercepat pertumbuhan pendapatan rakyat melalui produktiviti dan pembangunan ekonomi bernilai tinggi.

“Ketiga-tiga elemen ini perlu bergerak secara bersama-sama kerana kestabilan harga sahaja tidak mencukupi sekiranya pendapatan rakyat terus ketinggalan, manakala pertumbuhan pendapatan juga tidak akan memberikan kesejahteraan sebenar sekiranya kuasa beli terus terhakis,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nilai Ringgit Malaysia menunjukkan pemulihan dan pengukuhan yang memberangsangkan berbanding dolar Amerika Syarikat.

Jika sebelum ini nilai ringgit sering berada sekitar RM4.30 hingga RM4.50 bagi setiap dolar Amerika Syarikat, kini telah bergerak menghampiri lingkungan RM4.00 hingga RM4.10.

Justeru katanya, pengukuhan ini merupakan perkembangan positif kerana Malaysia masih mempunyai kebergantungan yang ketara ke atas import barangan dan input pengeluaran kritikal, khususnya dalam sektor makanan, pertanian dan pembuatan.

“Namun, saya berpandangan bahawa paras ringgit sekitar RM3.30 hingga RM3.50 bagi setiap dolar Amerika Syarikat wajar dilihat sebagai satu penanda aras pengukuhan jangka panjang yang berpotensi memberikan kelegaan lebih besar kepada pengguna.

“Paras tersebut bukanlah sasaran yang boleh dicapai segera atau melalui campur tangan pasaran semata-mata, sebaliknya memerlukan asas ekonomi yang kukuh, produktiviti tinggi, keyakinan pelabur serta kestabilan makroekonomi.

“Ringgit yang kukuh bukan sekadar mencerminkan keyakinan ekonomi negara, tetapi turut berfungsi sebagai mekanisme perlindungan kuasa beli rakyat daripada kejutan harga antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menambah ekosistem ekonomi negara perlu disesuaikan dengan risiko global berpanjangan menerusi peningkatan pengeluaran makanan domestik, pemodenan pertanian dan kepelbagaian sumber import bagi menjamin keterjaminan makanan negara.

“Perubahan iklim dan ketegangan geopolitik berpotensi mengganggu pengeluaran pertanian, perdagangan serta pengedaran makanan. Sarawak boleh memanfaatkan tanah, sumber air dan tenaga untuk memperkukuh bekalan makanan negeri serta negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, subsidi dan bantuan bersasar oleh kerajaan membantu mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya golongan berpendapatan rendah, namun peningkatan pendapatan sebenar rakyat perlu menjadi keutamaan pembangunan ekonomi.

“Pembangunan berasaskan bakat, kemahiran profesional, inovasi, teknologi dan penyelidikan perlu diperkukuh bagi mewujudkan pekerjaan berproduktiviti tinggi. Bantuan kerajaan kekal sebagai jaringan keselamatan sosial, manakala produktiviti memacu kesejahteraan jangka panjang,” jelasnya.

Baru-baru ini, Bank Dunia mengunjurkan harga komoditi makanan global dijangka meningkat sekitar 10 peratus pada tahun 2026 dan tambahan 7 peratus pada tahun 2027.

Perkembangan ini memberikan gambaran bahawa tekanan terhadap harga makanan berpotensi berterusan, sekali gus menuntut persediaan ekonomi yang lebih menyeluruh.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU