KUCHING: Berselindung di sebalik premis kediaman, tujuh sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di Jepun, China, Indonesia dan Austria akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu tujuh lokasi di Sarawak dan menahan 42 individu, termasuk 28 warga asing.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak berkata, kesemua sindiket itu berjaya ditumpaskan menerusi Op MAGPIE 01/2026 yang dilaksanakan di Bintulu, Kuching, Padawan, Miri dan Sibu dari 19 hingga 31 Oktober lalu.
Menurutnya, operasi bersepadu yang diselaraskan Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman itu dijalankan secara serentak di seluruh negara bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi.
“Tujuh premis yang diserbu terdiri daripada dua rumah banglo, tiga rumah teres dan dua unit apartmen yang dijadikan pusat operasi sindiket,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Saifullizan berkata, kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun, terdiri daripada 36 lelaki dan enam wanita.
“Daripada jumlah itu, 14 merupakan warga tempatan, manakala 28 lagi warga asing terdiri daripada 18 warga China, lapan warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Taiwan dan Myanmar,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa warga asing terbabit memasuki Malaysia sebagai pelancong.
Mengulas modus operandi sindiket, Saifullizan berkata, kegiatan mereka melibatkan penipuan pelaburan tidak wujud termasuk pelaburan mata wang kripto, tawaran permainan judi dalam talian palsu serta pengurusan kewangan hasil penipuan.
Menurutnya, usaha membanteras kegiatan berkenaan berdepan cabaran kerana mangsa berada di luar negara, sekali gus menyukarkan proses siasatan.
“Kegiatan sindiket pusat panggilan ini sukar ditangani kerana mangsanya bukan dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya berada di luar negara.
“Masalah ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah menjadi cabaran di seluruh dunia,” jelasnya.
Saifullizan berkata, siasatan mendapati sindiket yang ditumpaskan beroperasi dalam tempoh berbeza, dengan kegiatan paling lama berlangsung selama 11 bulan, manakala yang paling baharu dikesan selepas kira-kira 10 hari.
Dalam operasi sama, polis turut merampas pelbagai peralatan elektronik dan aset bernilai keseluruhan RM229,500 termasuk 33 komputer riba, empat set komputer, 76 telefon bimbit, lima set peranti Unifi, satu set Starlink serta sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan penipuan dan pakatan jenayah.
“Setakat ini, seramai 33 individu telah didakwa di mahkamah, manakala tiga lagi dijadikan saksi pendakwaan.
“Daripada jumlah yang didakwa, 17 individu mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM500 hingga RM4,000 seorang,” katanya.
Sementara itu, Saifullizan berkata, berdasarkan keterangan yang direkodkan polis, pemilik premis terbabit tidak mengetahui kediaman mereka digunakan sebagai pusat operasi sindiket penipuan.
Menurutnya, keadaan itu menyukarkan tindakan undang-undang terhadap pemilik premis kerana pihak berkuasa perlu membuktikan pelibatan mereka dalam kegiatan jenayah berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik kediaman supaya lebih berhati-hati ketika menyewakan premis termasuk melakukan semakan latar belakang penyewa serta memastikan tujuan sebenar kediaman berkenaan digunakan.
-TAMAT-




