ARTIKEL

Sagah (tengah) menunjukkan keputusan UP-DLPS6 pada sidang media di sini, hari ini. | Foto: UKAS

70.14 peratus murid lulus ketiga-tiga subjek UP-DLPS6

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 70.14 peratus murid tahun enam di Sarawak lulus ketiga-tiga mata pelajaran dalam Ujian Penilaian-Program Dwibahasa (UP-DLP) 2026, meningkat 11.18 mata peratus berbanding tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan prestasi keseluruhan murid dalam penilaian tahun ini.

Beliau berkata, purata markah bagi tiga mata pelajaran iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris turut meningkat daripada 41.20 peratus pada 2025 kepada 44.97 peratus tahun ini.

“Lebih memberangsangkan, bilangan murid yang memperoleh gred A bagi ketiga-tiga mata pelajaran meningkat hampir empat kali ganda, daripada 176 orang tahun lalu kepada 683 orang pada 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media keputusan UP-DLPS6 2026 di sini, hari ini.

Katanya, seramai 29,126 murid daripada 1,045 sekolah rendah menyertai penilaian berkenaan tahun ini.

Daripada jumlah itu, dedahnya kadar kelulusan bagi mata pelajaran Sains mencatatkan 93.19 peratus, diikuti Bahasa Inggeris (85.34 peratus) dan Matematik (74.76 peratus).

Sagah berkata, semua 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut mencatatkan peningkatan prestasi keseluruhan, manakala lebih 70 peratus sekolah menunjukkan pencapaian lebih baik berbanding tahun lalu.

“Kapit, Song dan Subis yang antara kawasan sasaran program intervensi rintis DLP mencatatkan peningkatan prestasi tertinggi,” tambahnya.

Beliau berkata, pelaksanaan latihan guru, penyediaan sumber pembelajaran tambahan serta aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara usaha yang dilaksanakan bagi menangani jurang pembelajaran dikenal pasti menerusi keputusan tahun lalu.

“Pada 2027, kementerian juga akan menyediakan modul pembelajaran UP-DLPS6 kepada semua sekolah DLP Tahun Enam bagi membantu murid membuat persediaan menghadapi penilaian,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, prestasi Bahasa Inggeris memerlukan perhatian apabila purata markah bagi mata pelajaran itu menurun 3.23 mata peratus, meskipun kekal sebagai subjek dengan pencapaian terbaik.

“Sebanyak 49.31 peratus murid memperoleh gred C dan ke atas bagi mata pelajaran berkenaan.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk mengenal pasti sekolah yang mencatatkan prestasi rendah dalam Bahasa Inggeris serta merangka langkah penambahbaikan bersesuaian,” ujarnya.

Selain itu, kata Roland Sagah sekolah di kawasan luar bandar dan Pedalaman 1 secara umumnya masih mencatatkan prestasi lebih rendah berbanding sekolah di bandar, Pedalaman 2 dan Pedalaman 3.

Dalam perkembangan lain, katanya pelaksanaan Sistem Pemarkahan Dalam Talian buat pertama kali bagi UP-DLPS6 tahun ini membolehkan analisis prestasi dibuat dengan lebih terperinci, termasuk mengenal pasti soalan dan konsep pembelajaran yang sukar dikuasai murid.

“Dapatan itu sedang diteliti bersama JPNS dan pihak sekolah bagi merangka intervensi lebih bersasar berdasarkan jurang pembelajaran sebenar,” ujarnya.

BERITA LAIN

AI bantu pelihara warisan Melayu Sarawak

KUCHING: Teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk memelihara warisan Melayu Sarawak menerusi pendigitalan manuskrip lama, rakaman sejarah lisan dan pembangunan arkib digital. Premier Datuk

BERITA TERBARU

AI bantu pelihara warisan Melayu Sarawak

KUCHING: Teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk memelihara warisan Melayu Sarawak menerusi pendigitalan manuskrip lama, rakaman sejarah lisan dan pembangunan arkib digital. Premier Datuk