KOTA SAMARAHAN: Finalis musim lepas, Samarahan siap sedia untuk mengharungi gelora sebenar final Piala Premier Sarawak 2026 menentang Kuching pada 29 November ini.
Samarahan turun dengan misi mahu mencetak kejuaraan pada perlawanan akhir itu kelak, sekali gus menghapus badi yang pernah dialami musim lepas.
Ketua jurulatih, Ideris Untong memberitahu, mereka tidak rela dimamah kecewa untuk kali kedua berturut-turut.
Justeru katanya, perlawanan penentuan gelaran berprestij itu kelak semahunya dimuktamadkan dengan kemenangan.
“Pemain sudah tidak sabar untuk beraksi di final menentang Kuching kelak.
“Misi kita hanya satu, cuba memenangi perlawanan tersebut untuk memastikan gelaran juara milik Samarahan,” ujar Ideris kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Ideris, persiapan pasukannya untuk menghadapi perlawanan yang disifatkan ulangan bagi kedua-dua pasukan itu berjalan lancar.
Ideris akui, tiada strategi khas diguna pakai pemainnya pada perlawanan itu kelak.
“Tempoh masa yang ada ini digunakan untuk memperkemas jentera di segenap posisi.
“Terus memberi fokus meningkatkan tahap kecergasan semua pemain,” tambah Ideris.





