ARTIKEL

Mohammad Razi berucap merasmikan Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Masyarakat 2026 (KISS 2026) bertemakan 'Membina Spiritualiti, Memperkasa Komuniti, Mensejahterakan Sarawak' di sebuah hotel di Bintulu pada Khamis.

Pembangunan sosial perlu seiring kemajuan ekonomi Sarawak menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pembangunan sosial perlu diperkukuh seiring kemajuan ekonomi dan pembangunan infrastruktur bagi memastikan kemakmuran Sarawak menjelang 2030 turut dinikmati seluruh lapisan masyarakat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam.

Beliau berkata, kejayaan pembangunan sesebuah negeri tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan rakyat, kekuatan institusi keluarga serta keselamatan komuniti.

Menurutnya, pembangunan ekonomi yang pesat perlu disokong masyarakat sejahtera dari aspek fizikal, mental dan sosial supaya kemakmuran yang dicapai dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa meminggirkan golongan rentan dan mereka yang memerlukan sokongan.

Mohammad Razi menyentuh skrin komputer simbolik berucap merasmikan Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Masyarakat 2026 (KISS 2026) bertemakan ‘Membina Spiritualiti, Memperkasa Komuniti, Mensejahterakan Sarawak’.

“Hasrat Kerajaan Sarawak untuk mencapai pembangunan seimbang menjelang 2030 perlu didukung masyarakat yang sejahtera, institusi keluarga yang kukuh serta komuniti yang selamat, inklusif dan saling menyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Masyarakat 2026 (KISS2026) bertemakan ‘Membina Spiritualiti, Memperkasa Komuniti, Mensejahterakan Sarawak’ di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Mohammad Razi berkata, masyarakat kini berhadapan pelbagai cabaran sosial yang semakin kompleks, termasuk penyalahgunaan dadah, masalah kesihatan mental, konflik kekeluargaan, keganasan rumah tangga, gejala sosial dalam kalangan remaja, buli siber serta ancaman keselamatan digital.

Mohammad Razi merakam gambar bersama peserta Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Masyarakat 2026 (KISS 2026) bertemakan ‘Membina Spiritualiti, Memperkasa Komuniti, Mensejahterakan Sarawak’.

Jelasnya, isu berkenaan bukan sahaja menjejaskan individu terbabit, malah boleh memberi kesan berantai dalam kesejahteraan keluarga, keselamatan komuniti dan kestabilan sosial sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh.

Beliau berkata, penyalahgunaan dadah antara cabaran yang memerlukan perhatian serius kerana kesannya bukan sahaja ke atas kesihatan individu, tetapi turut menjejaskan institusi keluarga, keselamatan masyarakat dan pembangunan modal insan.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, sebanyak 12,323 tangkapan berkaitan kesalahan dadah direkodkan di seluruh Sarawak, merangkumi 9,545 tangkapan bagi kategori penagih, 2,219 bagi pemilikan dadah dan 559 berkaitan bekalan dadah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa institusi keluarga perlu terus diperkasakan sebagai asas pembentukan masyarakat yang sejahtera dan berdaya tahan.

Katanya, hubungan kekeluargaan yang erat, komunikasi terbuka serta penerapan nilai kasih sayang dan tanggungjawab mampu mengurangkan risiko masalah sosial, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Dalam konteks itu, Mohammad Razi berkata, kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pengamal profesional dan organisasi masyarakat perlu diperkukuh bagi memastikan usaha menangani cabaran sosial dilaksanakan secara lebih terselaras dan berkesan.

Konvensyen dua hari (12 dan 13 November) anjuran bersama MIDS Daerah Bintulu dan Universiti Putra Malaysia Sarawak itu merangkumi wacana pemetaan isu serta perbincangan meja bulat dalam lima bidang utama, iaitu pengurusan ketagihan dan pemulihan komuniti, kesihatan mental, keluarga berdaya tahan dan keibubapaan positif, belia, media sosial dan keselamatan digital serta agama, spiritualiti dan kesejahteraan sosial.

Beliau berharap konvensyen berkenaan dapat menghasilkan resolusi praktikal yang boleh dijadikan panduan dalam memperkukuh intervensi sosial serta membawa perubahan positif kepada kesejahteraan masyarakat.

BERITA LAIN

WFL FC Rangkul Dua Kejuaraan PYFCT Bintulu

KUCHING: WFL FC melakar kejayaan berganda apabila merangkul kejuaraan kategori bawah 14 tahun (B-14) dan bawah 16 tahun (B-16) Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS

BERITA TERBARU

WFL FC Rangkul Dua Kejuaraan PYFCT Bintulu

KUCHING: WFL FC melakar kejayaan berganda apabila merangkul kejuaraan kategori bawah 14 tahun (B-14) dan bawah 16 tahun (B-16) Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS