KUCHING: WFL FC melakar kejayaan berganda apabila merangkul kejuaraan kategori bawah 14 tahun (B-14) dan bawah 16 tahun (B-16) Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 Edisi Bintulu yang berakhir pada 7 November lalu.
Kejayaan itu menyaksikan kedua-dua pasukan mengungguli saingan masing-masing selepas mengharungi lapan perlawanan, sekali gus menempah tempat ke Liga Juara-Juara Bola Sepak Belia PETRONAS 2026 yang dijadual berlangsung di Kuching pada Disember ini.
WFL FC B-14 tampil dengan rekod sempurna apabila memenangi kesemua lapan perlawanan untuk mengumpul 24 mata, selain menjaringkan 43 gol dan hanya dibolosi lima kali sepanjang kejohanan.
Pencapaian tersebut turut menyaksikan penyerangnya, Federer Darydenco Saging Raymond muncul penjaring terbanyak kategori B-14 dengan 13 gol, manakala WFL FC turut menerima Anugerah Permainan Bersih.

Black Owl Soccer Academy (PPFC B-14 A) muncul naib juara dengan 21 mata hasil tujuh kemenangan, diikuti Kelab Bola Sepak Armin di tempat ketiga selepas mengumpul 18 mata.
Sementara itu, WFL FC B-16 turut membuktikan kehebatan apabila menamatkan saingan di tangga teratas dengan 21 mata hasil tujuh kemenangan dan satu kekalahan.
Pasukan berkenaan merekodkan 21 jaringan dan hanya melepaskan lima gol, sekali gus mengatasi pencabar terdekat, Kelab Bola Sepak Armin B-16 yang muncul naib juara dengan 20 mata.

Pasukan Miri B-16 pula menduduki tempat ketiga selepas mengumpul 19 mata, manakala WFL FC B-16 turut menerima Anugerah Permainan Bersih bagi kategori tersebut.
Dalam perebutan gelaran penjaring terbanyak B-16, Rhys Rusell Gau yang mewakili pasukan Miri muncul sebagai penerima anugerah selepas menghasilkan sembilan jaringan sepanjang pertandingan.
Kejohanan yang bermula pada 17 Oktober lalu itu menghimpunkan 18 pasukan, masing-masing sembilan pasukan dalam kategori B-14 dan B-16, bagi merebut kejuaraan serta kelayakan ke pertandingan peringkat seterusnya.
Dua pasukan teratas setiap kategori memperoleh kelayakan ke Liga Juara-Juara Bola Sepak Belia PETRONAS 2026 di Kuching, sekali gus membuka peluang kepada pemain muda menguji kemampuan menentang pasukan terbaik dari lokasi penganjuran lain.
Bintulu merupakan lokasi ketiga penganjuran pertandingan B-14 dan B-16 di Sarawak selepas Kuching yang memulakan saingan pada 27 September, diikuti Mukah pada 10 Oktober lalu.
Edisi Bintulu turut merangkumi pertandingan kategori bawah 10 tahun (B-10) dan bawah 12 tahun (B-12), sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan platform pembangunan bola sepak kepada pemain pelbagai peringkat umur.
Majlis penyampaian hadiah dan penutupan berlangsung di Padang Bola Sepak Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu pada 7 November lalu.
<-TAMAT->




