ARTIKEL

Rundi Berhasrat Kekal Pimpin M-FICORD, Mahu Lihat Hasil Perancangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom menyatakan hasrat untuk terus menerajui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) kerana masih banyak perancangan dan agenda pembangunan yang ingin dilihat membuahkan hasil.

Bagaimanapun, katanya keputusan kedudukannya dalam kepimpinan kerajaan negeri itu bergantung kepada proses Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, yang penamaan calon ditetapkan pada 28 November dan hari pengundian pada 12 Disember ini.

“Saya sebenarnya mahu kekal di kementerian ini kerana kita baru sahaja memulakan beberapa perkara, tetapi saya masih belum melihat hasil sepenuhnya,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam M-FICORD: ‘Journey Of Excellence’ di sini, semalam.

Menurutnya, antara agenda besar yang perlu diteruskan ialah meningkatkan Kadar Sara Diri (SSL) makanan daripada 28 kepada 60 peratus serta menjadikan Sarawak pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

Namun, Rundi berkata meskipun tidak lagi menerajui kementerian berkenaan, beliau berharap agar transformasi terus diterapkan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Beliau menegaskan, antaranya pegawai kanan perlu diberi kuasa membuat keputusan bagi mempercepat pelaksanaan projek serta mengelakkan kelewatan akibat proses birokrasi.

Katanya budaya menghantar wakil yang tidak mempunyai kuasa membuat keputusan ke mesyuarat perlu dihentikan kerana ia hanya menyebabkan sesuatu perkara terus tertangguh.

Selain itu, Rundi berkata dalam usaha mentransformasikan sektor pertanian, pembangunan industri itu tidak boleh lagi tertumpu kepada aktiviti penanaman semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan keseluruhan rantaian bekalan termasuk pemprosesan, pemasaran dan pelibatan industri hiliran.

Katanya, tanpa industri hiliran dan pasaran yang terjamin, pengeluaran hasil pertanian bermusim seperti rambutan dan durian boleh menyebabkan lambakan bekalan serta kejatuhan harga yang akhirnya merugikan petani.

Justeru, beliau mahu pendekatan pertanian secara berkumpulan melalui sistem kluster diperluas bagi membolehkan pengeluaran dalam jumlah lebih besar, selain menarik pelibatan pembeli utama dan pemain industri sebagai rakan strategik.

Rundi turut menggesa golongan muda supaya melihat pertanian sebagai peluang perniagaan yang mampu menjana pendapatan, bukannya sekadar meneruskan cara hidup tradisi keluarga.

Katanya, penggunaan teknologi moden termasuk Internet Kebendaan (IoT), pertanian pintar dan pertanian ketepatan mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja serta menjadikan sektor itu lebih menarik kepada generasi muda.

Beliau berkata, tanah yang tidak dimanfaatkan perlu digunakan secara produktif melalui pendekatan pertanian moden, termasuk pengusahaan tanah berskala kecil yang dilaksanakan secara berkumpulan.

Rundi turut mengingatkan bahawa kejayaan transformasi pertanian perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah, khususnya masyarakat luar bandar yang masih berdepan cabaran ekonomi.

Tamat

BERITA LAIN

BERITA TERBARU