ARTIKEL

Abdul Karim mewakili Premier pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Kuching, malam tadi.

Operasi Perintis ART Rembus-Samarahan ke Northbank Disasar Bermula Akhir Tahun Ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Operasi perintis Transit Aliran Automasi (ART) bagi laluan Rembus, Samarahan ke Northbank, Stutong disasarkan bermula pada penghujung tahun ini, sebelum perkhidmatan komersial dilaksanakan secara berperingkat.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) itu bakal memperkukuh hubungan antara Samarahan dengan Kuching, selain menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih cekap kepada penduduk.

Menurutnya, kewujudan Depoh ART di Rembus turut menjadikan Samarahan antara kawasan penting dalam pembangunan rangkaian pengangkutan awam moden Sarawak.

“Pelaksanaan operasi perintis ART bagi laluan awal dari Rembus ke Northbank disasarkan bermula pada penghujung tahun 2026, sebelum perkhidmatan komersial dilaksanakan secara berperingkat.

“Apabila beroperasi kelak, sistem ini dijangka meningkatkan hubungan antara Samarahan dengan Kuching, menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih baik serta mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya.

Abdul Karim bersama-sama tetamu jemputan yang lain memotong kek sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Kuching, malam tadi. Foto: MOHD ALIF NONI

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di sini, malam tadi.

Tambahnya, pembangunan sistem pengangkutan itu seiring dengan perkembangan Kota Samarahan sebagai pusat pendidikan, kesihatan dan ekonomi yang semakin penting di Sarawak.

“Kehadiran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak menjadikan Samarahan hab pendidikan tinggi, penyelidikan dan latihan tenaga profesional.

“Pertumbuhan institusi berkenaan turut merancakkan kegiatan ekonomi setempat melalui peningkatan permintaan terhadap perumahan, perniagaan, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan,” ujarnya.

Dalam sektor kesihatan, beliau berkata, kewujudan Pusat Jantung Sarawak serta pembangunan Pusat Kanser Sarawak, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak dan Hospital Pengajar UNIMAS akan memperkukuh kedudukan Samarahan sebagai pusat perkhidmatan serta penyelidikan perubatan.

“Pada masa sama, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu di Tanjung Embang, Asajaya berpotensi membuka peluang lebih luas dalam sektor penerbangan, logistik, perdagangan, pelancongan dan pelaburan.

“Saya mahu MPKS bersama-sama agensi berkaitan merancang lebih awal keperluan guna tanah, jaringan jalan raya, infrastruktur dan kemudahan awam bagi menyokong pembangunan kawasan sekitar lapangan terbang yang dicadangkan itu,” jelasnya.

Beliau turut menekankan pembangunan Samarahan perlu memberikan perhatian kepada kesejahteraan semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak, belia, keluarga, orang kurang upaya dan warga emas.

“Saya menyambut baik inisiatif memperkenalkan Ahli Majlis Kanak-Kanak bagi memberikan ruang kepada golongan muda menyuarakan pandangan serta mengambil bahagian dalam pembangunan komuniti.

“Selain itu, penyertaan dalam Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Warga Emas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) penting bagi memastikan perancangan bandar mengambil kira keperluan penduduk yang semakin berusia.

“Kita mahu Samarahan berkembang sebagai sebuah kawasan perbandaran yang bukan sahaja moden dan maju dari segi ekonomi, tetapi turut selamat, inklusif serta selesa untuk didiami,” katanya.

TAMAT//

BERITA LAIN

BERITA TERBARU