KUCHING: Pemain tengah Kuching City FC, Kaishu Yamazaki semakin membuktikan kemampuannya mengisi kekosongan ditinggalkan Moses Atede selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam dua perlawanan terakhir skuad The Cats.
Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau sudah mengenali kemampuan pemain kelahiran Jepun itu sejak membimbingnya di Persikabo 1973, Indonesia pada 2023, selain pengalaman Kaishu beraksi dalam Liga Singapura.
“Masih ada yang merindui Moses? Kita perlu bersikap terbuka dan menerima hakikat bahawa itu musim lalu. Sekarang kita perlu bergerak ke hadapan,” katanya ketika mengulas persembahan pemain berkenaan.
Menurut Aidil, peningkatan Kaishu dapat dilihat menerusi dua aksi terakhir ketika Kuching City menewaskan Gangwon FC 2-0 dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) dan Selangor FC dengan keputusan sama pada separuh akhir kedua Piala FA.


Beliau berharap pemain itu dapat mengekalkan prestasi serta terus bersaing secara sihat dengan rakan sepasukan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Dalam pada itu, Aidil menegaskan pemilihan pemain tidak dibuat berdasarkan reputasi atau status individu, sebaliknya kemampuan mereka melaksanakan perancangan taktikal serta memberikan sumbangan kepada pasukan.
“Di Kuching City, tiada pemain yang lebih besar daripada pasukan. Menang atau kalah ialah hasil usaha bersama, bukannya kerana seorang individu,” tegasnya.


Mengulas prestasi Safawi Rasid, Aidil turut memuji sumbangan pemain sayap kebangsaan itu yang bukan sahaja membantu jentera serangan, malah memainkan peranan penting ketika bertahan.
Bagaimanapun, Aidil mengingatkan penyokong supaya memberikan masa kepada pemain baharu untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan dan tuntutan pasukan, terutama ketika berdepan jadual perjalanan yang padat.
Kuching City kini menikmati momentum positif selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut tanpa bolos, sekali gus melakar kemenangan sulung di pentas Asia dan mengesahkan kemaraan ke final Piala FA.





