KUCHING: Sebuah kontena yang menyimpan rokok dan minuman keras dipercayai tidak dibayar cukai bernilai hampir RM9.65 juta ditemukan dalam serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima di sebuah jeti persendirian di Jalan Sungai Maaw, Sibu 7 November lalu.
Serbuan menerusi Op Taring Pensura itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang ditemukan dalam keadaan mencurigakan berhampiran kontena berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak berkata, operasi kira-kira 8 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Markas Taktikal PPM Wilayah Lima, Sibu selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan di lokasi terbabit.

Menurutnya, pasukan operasi yang menggunakan bot ronda PGR 8 melakukan pemeriksaan di jeti persendirian berkenaan yang terletak di Sungai Batang Rajang.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, pasukan operasi menemukan seorang lelaki tempatan berbangsa Iban berusia lingkungan 20-an dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kontena.
“Lelaki terbabit kemudian diarahkan membuka kontena berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang dipercayai tidak dibayar cukai,” katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.
Saifullizan berkata, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang ditemukan di dalam kontena tersebut.
Susulan itu katanya, lelaki berkenaan ditahan manakala semua barangan terbabit dirampas bagi membantu siasatan lanjut.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM9,643,952,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Seksyen berkenaan katanya melibatkan kesalahan memiliki, menyimpan atau menyembunyikan barangan tidak berkastam atau barang larangan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
-TAMAT-




