KUCHING: Kota Samarahan berpotensi dinaik taraf kepada status bandar raya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang susulan pertumbuhan penduduk dan kepesatan pembangunan yang dijangka terus meningkat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah penduduk Kota Samarahan yang dahulunya sekitar 70,000 orang kini menghampiri 200,000 orang, sekali gus meningkatkan keperluan sistem pentadbiran perbandaran yang lebih besar.
Menurutnya, perkembangan pesat kawasan perumahan, institusi pendidikan dan projek infrastruktur utama dijangka terus menarik pertambahan penduduk sehingga pentadbiran sedia ada mungkin memerlukan peningkatan status pada masa depan.
“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, saya percaya jumlah penduduk Samarahan akan terus meningkat sehingga mungkin tiba masanya kawasan ini tidak lagi dapat ditadbir sebagai majlis perbandaran.
“Sebaliknya, kita mungkin memerlukan sebuah badan pentadbiran yang lebih besar, iaitu Dewan Bandaraya Kota Samarahan,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di sini, malam tadi.
Tambahnya, perubahan Kota Samarahan sepanjang sedekad lalu amat ketara, khususnya daripada sebuah kawasan pinggir bandar kepada pusat pertumbuhan yang mempunyai pelbagai kemudahan pendidikan, perumahan dan kegiatan ekonomi.
Katanya, perkembangan itu turut dipengaruhi peningkatan jumlah penduduk dari Kuching yang memilih untuk menetap di Samarahan, terutama pasangan muda dan keluarga yang ingin memiliki kediaman sendiri.
“Dahulu, penduduk Samarahan pergi ke Kuching untuk bekerja dan tinggal di bandar, tetapi sekarang keadaan sudah berubah apabila ramai berpindah untuk membeli rumah dan membina kehidupan berkeluarga.
“Kalau kita melihat keadaan 20 atau 30 tahun dahulu, tidak ramai yang dapat membayangkan Samarahan akan membangun seperti yang kita lihat hari ini.
“Sekarang kita sudah mempunyai bangunan bertingkat, universiti dan pelbagai kemudahan yang menjadikan Samarahan antara kawasan yang pesat membangun,” katanya.
Beliau turut mengetengahkan cadangan pembangunan Taman Samarahan seluas kira-kira 1,000 ekar atau lebih 400 hektar sebagai antara projek yang bakal mengubah wajah kawasan berkenaan.
Menurutnya, kawasan hijau yang sedang melalui proses pewartaan itu dirancang menjadi taman awam berskala besar dan berpotensi muncul sebagai taman rekreasi terbesar di Sarawak.
“Pembangunan Depoh Transit Aliran Autonomi (ART) di Rembus turut memperkukuh kedudukan kawasan ini sebagai sebahagian daripada rangkaian pengangkutan awam moden yang menghubungkan Kuching.
“Malah, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu di Tanjung Embang, Asajaya pula berpotensi membawa perubahan lebih besar kepada pembangunan Samarahan pada masa depan,” jelasnya.
TAMAT//




